
Laporan/foto: Mohd Saipul Nizam Ibrahim (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 3 Jul (Malaysiaaktif) – Walaupun negara dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun ia tidak menjejaskan sektor perniagaan durian malah memberi impak yang lebih positif terutamanya kepada para peniaga dan pekebun komersial mahupun di kampung.
Menurut Peniaga Lambakan Durian Peserai Mohd Izuan Mohd Fauzi, 30, beliau menceburi dunia perniagaan durian ini sejak dua tahun yang lalu yang mana ia turut membantu membuka pintu rezeki penduduk kampung khususnya yang mempunyai kebun durian.
“Kebanyakan durian yang saya jual diambil daripada para penduduk di sekitar kampung di sini,” katanya ketika ditemui di gerainya di Peserai, di sini semalam.
Tambahnya, selain jualan digerai, beliau turut menjual durian secara pukal kepada para peniaga di sekitar Johor Bahru.
“Permintaan raja buah sangat tinggi, walaupun bermusim namun ia dapat membantu menjana ekonomi dan menambah pendapatan para penduduk kampung terutama dalam musim PKP ini.
“Saya berharap masyarakat setempat yang mempunyai tanah sendiri dapat menceburi bidang pertanian terutama penanaman durian kerana jika diusahakan secara serius mereka mampu mendapat pulangan yang lumayan,” katanya.
Izuan berkata durian mampu mendatangkan sumber ekonomi yang menguntungkan berikutan banyak pihak terbabit seperti pembekal benih, pembekal baja, pemasaran dan produk berasaskan durian.
“Durian dianggap sebagai produk premium kerana mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat di negara ini dan juga luar negara.
“Pekebun durian bukan sahaja akan mendapat manfaat dari hasil yang lumayan malah mereka juga dapat menimba ilmu dan mempelajari cara-cara mendapatkan hasil yang lebih banyak serta bermutu tinggi melalui agensi-agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan lain-lain,” ujarnya lagi.
-NI-