Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sukarelawan SV Sasar Bantu Masyarakat Cina yang Tercicir Mendaftar sebagai Penerima Vaksin

By 12 Julai 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan/Mohammad Nazriq Hakimi Abdul Gani (Segamat)

SEGAMAT, 12 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 25 orang sukarelawan Southern Volunteers (SV) bergerak ke kawasan taman perumahan yang didiami oleh majoriti masyarakat Cina di Bukit Siput, di sini bagi membantu proses pendaftaran penerima vaksin.

Menurut Pengerusi Southern Volunteers Segamat Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria, visi dan misi pasukan sukarelawan ini adalah bagi membantu tugasan-tugasan sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta pendaftaran vaksinasi di peringkat komuniti, kampung dan kawasan-kawasan pihak berkuasa tempatan.

“Pada sesi pendaftaran yang dikendalikan oleh sukarelawan SV, pihak kami akan menyediakan borang pendaftaran secara manual yang perlu diisi oleh individu terbabit secara bersemuka.

“Ahli Majlis juga akan turut membuat penyerahan borang kepada para penduduk mengikut kawasan yang mana borang tersebut perlu dikembalikan semula kepada mereka untuk diserahkan kepada pihak SV bagi tujuan pendaftaran secara dalam talian,” katanya ketika ditemui pada Program Pendaftaran Vaksin di Dewan Raya Bukit Siput, di sini semalam.

Tay Beng Kok merupakan antara masyarakat cina Bukit Siput yang bersemangat untuk mendaftar vaksin COVID-19.

Tay Beng Kok merupakan antara masyarakat Cina Bukit Siput yang bersemangat untuk mendaftar vaksin COVID-19.

Tambah beliau, Sounthern Volunteers Segamat kini sedang giat untuk membantu orang awam membuat pendaftaran vaksin bermula 19 Julai sehingga 23 Julai 2021 di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Majoriti masyarakat Cina di sini memberikan kerjasama yang baik ketika proses pendaftaran dijalankan, namun terdapat juga yang enggan membuka pintu rumah kerana menganggap kami sebagai jurujual dan penipu (scammer),” ujarnya.

Beliau turut menyeru orang ramai yang ingin mendaftar tetapi tidak mempunyai kemudahan telefon mudah alih atau tidak tahu cara untuk mendaftar menggunakan platform yang disediakan boleh ke Dewan Jubli Intan Segamat pada setiap hari bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang untuk mendaftar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Penerangan Daerah Segamat yang sentiasa membantu dalam membuat hebahan berkenaan kehadiran pasukan SV Segamat ke kawasan-kawasan tumpuan selain berkongsi maklumat terkini melalui program Info on Wheels (IOW),” ujarnya lagi.

Penglibatan kenderaan Jabatan Penerangan Daerah Segamat dalam membuat hebahan sangat membantu dalam urusan pendaftaran Vaskin Covid-19 di lapangan.

Penglibatan kenderaan Jabatan Penerangan Daerah Segamat dalam membuat hebahan sangat membantu dalam urusan pendaftaran Vaskin COVID-19 di lapangan.

Salah seorang sukarelawan SV yang ditemui, Norliana Razali, 38, berkata penglibatannya dalam aktiviti-aktiviti sukarelawan ini bagi membantu memudahkan urusan pendaftaran vaksin warga Segamat secara bertulis.

“Saya menyertai sukarelawan ini bagi menyahut seruan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam memastikan tiada rakyat negeri ini yang tertinggal atau tercicir untuk mendapatkan suntikan vaksin,” jelasnya.

Tay Beng Kok, 58, sewaktu ditemui ketika mendaftar nama untuk menerima vaksin memaklumkan sebelum ini tiada pihak yang tampil membuka kaunter pendaftaran vaksin di kawasan ini.

“Saya tidak tahu cara untuk mendaftar melalui saluran yang telah disediakan, namun pada hari ini, apabila terdengar hebahan yang dibuat oleh kenderaan Jabatan Penerangan berkaitan pembukaan kaunter pendaftaran oleh sukarelawan SV, saya terus ke Dewan Raya Bukit Siput untuk mendaftar,” ujarnya

Beliau berkata, pengambilan suntikan vaskin adalah langkah terbaik bagi melindungi diri terutama bagi warga emas kerana wabak COVID-19 sekarang sudah ada di dalam komuniti.

“Saya berharap orang ramai akan tampil mendaftar untuk menerima vaksin bagi menyahut seruan kerajaan agar sasaran imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini akan dapat dicapai seperti dirancang,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda