
Laporan/foto: Nurulaini Mohd Kasran/Norasilah Ibrahim (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 300 orang penjaja kecil dari dua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin dos pertama bawah Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).
Menurut Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, seramai 200 orang para penjaja kecil adalah dari kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) manakala 100 orang lagi dari kawasan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).
“Penjaja kecil ini merupakan kumpulan sasar bagi MDKT dan MPP kerana mereka sentiasa berurusan dengan orang ramai pada setiap hari.
“Jumlah keseluruhan penjaja kecil dalam daerah Kota Tinggi adalah seramai 794 orang yang direkodkan telah berdaftar di bawah PBT tersebut tidak termasuk penjaja harian yang beroperasi sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas melawat Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Dataran Tun Sri Lanang Kota Tinggi, di sini semalam.
Tambah beliau, program ini akan diadakan secara berterusan dan berperingkat kerana terdapat dalam kalangan penjaja yang telah pun menerima suntikan vaksin lebih awal dan ada juga yang masih belum menerimanya.
“MDKT dan MPP merupakan PBT pertama yang mengadakan program vaksinasi untuk para penjaja kecil.
“Saya berharap pihak PBT di daerah-daerah lain juga dapat mengadakan program seumpama ini bagi memudahkan para penjaja kecil untuk mendapatkan suntikan vaksin,” ujarnya.
Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Kota Tinggi merangkap Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil, berkata pelbagai usaha akan dilakukan bagi memastikan para penjaja dan peniaga di dalam daerah ini dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka dengan pemberian vaksin ini.
“Dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak PBT, kita akan cuba melaksanakannya secara berperingkat agar semua penjaja dan peniaga dalam daerah ini akan menerima suntikan vaksin bagi memudahkan mereka untuk meneruskan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan,” katanya.
Seorang peniaga makanan dari Bandar Penawar Desaru Izzaharin Ismail, 38, yang ditemui berkata beliau sangat bersyukur apabila menerima panggilan untuk janji temu vaksin kerana telah lama menunggu setelah mendaftar pada bulan Februari yang lalu.
“Pendaftaran untuk vaksin ini telah dibuat melalui kaunter yang dibuka oleh Southern Volunteers (SV) dan MPP di dewan berhampiran dengan kediaman saya.
“Saya sangat berharap melalui program yang diadakan ini, sasaran untuk imuniti berkelompok akan tercapai dan kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
-NI-