
Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Abd. Halim Jumat (Jelebu)
JELEBU, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah mengadakan Program Ujian Saringan COVID-19 terhadap 400 orang penduduk di Kampung Putra.
Menurut Pegawai JAKOA Daerah Jelebu Mohammad Fauzi Ali, ujian saringan COVID-19 telah menggunakan kaedah Kit Ujian Pantas (RTK-Ag) telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan daripada penduduk Kampung Putra serta Kampung Sawah.
“JAKOA bersama Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu mengambil inisiatif untuk turun padang setelah pertimbangkan keadaan masyarakat Orang Asli yang mempunyai masalah pengangkutan untuk hadir ke klinik kesihatan bagi melakukan ujian saringan tersebut.
Kerjasama yang diberikan oleh penduduk dari kedua-dua kampung ini telah membuktikan bahawa masyarakat semakin sedar dan bimbang mengenai jangkitan COVID-19,” katanya ketika ditemui di Kampung Putra, di sini semalam.
Pegawai Kesihatan Daerah Jelebu Dr. Haslina Hassan pula menyatakan tiada kes positif yang dikesan di kalangan penduduk Kampung Putra namun sebanyak sembilan kes positif dapat dikesan dalam kalangan penduduk Kampung Sawah.
“Ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) juga telah dilakukan keatas individu yang mendapat keputusan positif, malah mereka telah dipakaikan gelang pink dengan segera serta diminta untuk kuarantin kendiri di rumah,” ujarnya.
Manakala menurut Tok Batin Kampung Putra merangkap Pengerusi Orang Asli Daerah Jelebu Tok Batin Awang Lijon, kesemua anak buah dari kedua-dua kampong telah keluar untuk melakukan ujian saringan hari ini bagi memastikan mereka bebas dari jangkitan COVID-19.
“Kerjasama yang telah diberikan oleh Pejabat Penerangan Daerah Jelebu dengan membuat hebahan supaya penduduk mendapat maklumat supaya keluar untuk menjalani ujian saringan yang akan dilakukan semalam sungguh berkesan,” katanya.
-FF