
Laporan/foto: Mastika Hablum (Jasin)
JASIN, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, di sini menerima cabaran apabila terpilih mewakili Negeri Melaka ke Peringkat Kebangsaan dalam Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Menurut Ketua Komuniti Orang Asli Lubuk Bandung Batin San Pat San Fook, 71, mereka perlu membuktikan bahawa mereka bebas daripada serangan pandemik dan warga komuniti di sini harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Sejumlah 82 orang golongan dewasa dan warga emas yang telah divaksin serta berharap kampung ini bebas daripada serangan pandemik yang sedang berleluasa.
“Melihat kerjasama dan semangat yang ditunjukkan oleh anak muda dalam mempersiapkan pengisian pertandingan ini saya amat berbangga dan berharap usaha yang dibuat akan beroleh kejayaan,” ujarnya ketika di temui di Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Program Info on Wheels (IoW) Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) disambut baik komuniti Orang Asli di Jasin, dengan menggunakan hebahan dialek Temuan berkaitan konsep Pembudayaan Norma Baharu.
Menurut Najmie Najira Bah Alang, 20, kerjasama komuniti ini bersama Pejabat Penerangan Daerah Jasin sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada mereka bahawa ada agensi yang mengambil berat terhadap mereka bagi mengingatkan tentang pematuhan SOP dan pengambilan Vaksin COVID-19.
“Saya berharap semua rakyat dapat memberi kerjasama supaya kes COVID-19 turun dan memutuskan penularannya, dan kehidupan akan kembali seperti biasa,” ujarnya mahasiswi Universiti Malaysia Sabah ini.
-FF