Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Perlis Usul Kurangkan Pekerja Rentas Negeri

By 2 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – Peningkatan kes positif di negeri ini selepas perayaan Hari Raya Aidiladha berpunca daripada aktiviti merentas negeri oleh individu tertentu, termasuk mereka yang berulang-alik ke tempat kerja serta aktiviti ziarah ahli keluarga atas faktor kecemasan.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif dengan mencadangkan mana-mana individu yang bekerja di negeri ini atau yang tinggal di negeri ini tetapi bertugas di luar tidak dibenarkan merentas negeri.

“Mereka akan diberi kebenaran untuk bekerja dari rumah buat sementara waktu bagi mengurangkan aktiviti pergerakan rentas negeri.

“Langkah ini diambil bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 oleh para pekerja yang bekerja di luar atau yang bermastautin dalam negeri ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media Program Mobalisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Perkarangan Masjid Nurul Iman Kampung Nesam, di sini hari ini.

Beliau memaklumkan telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan akan mencadangkan perkara ini di dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri dalam masa yang terdekat namun ia tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan datang, saya akan cuba mengesyorkan agar aktiviti rentas negeri yang melibatkan tenaga kerja sama ada kerajaan atau swasta, serta aktiviti ziarah tidak dibenarkan atau dihadkan.

“Kita tidak boleh mengawal pergerakan mereka yang merentas negeri kerana mereka mendapat surat kebenaran,” ujarnya.

Azlan juga mengingatkan bahawa mereka yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin juga turut berpotensi menyebarkan wabak COVID-19 walaupun kurang berisiko untuk mendapat jangkitan ke atas diri sendiri kerana telah mempunyai imuniti diri.

“Kita perlu sentiasa mematuhi dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengurangkan keberangkalian dijangkiti atau menjangkiti wabak ini kepada orang lain.

“Saya turut meneliti cadangan-cadangan yang diberikan oleh orang ramai di platform media sosial bagi membantu membendung penularan wabak ini seperti individu yang ingin masuk ke negeri ini perlu di pakaikan gelang kuning dan dikenakan ujian saringan COVID-19,” tambahnya.

Azlan berpendapat cadangan tersebut sangat praktikal dan tidak akan menambahkan bebanan tugas para petugas barisan hadapan jika ia di laksanakan di negeri ini.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana mengadakan Program MOVAK yang secara tidak langsung membantu mempercepatkan lagi proses vaksinasi di negeri ini.

“Setakat 1 Ogos, seramai 112,734 individu telah menerima dos pertama vaksin manakala 77,300 penerima lagi telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda