
Laporan/foto: Siti Zuraida Md Nor Aidi/Khairulnizam Mohd Yunus (Jempol)
JEMPOL, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, menyasarkan sebanyak 50 peratus daripada penduduk dewasa di negara ini akan lengkap menerima vaksin kedua menjelang 31 Ogos nanti.
“Setakat hari ini sebanyak 59 peratus daripada penduduk dewasa di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksinasi manakala bagi penduduk dewasa yang telah lengkap bagi kedua-dua dos vaksinasi adalah sebanyak 29 peratus.
“Sebanyak 72 peratus penduduk dewasa di Negeri Sembilan telah mendapat sekurang-kurangnya 1 dos vaksinasi dan sebanyak 35 peratus yang telah lengkap dos kedua dan pihak kerajaan berpuas hati dengan program bantuan yang diadakan kerana ianya sangat berkesan terutama bagi kawasan–kawasan yang terpencil, pedalaman dan perkampungan Orang Asli yang berada jauh dari Klinik Kesihatan serta Pusat Pemberian Vaksin yang kebanyakan terletak di pekan ataupun Bandar yang besar,” ujarnya ketika sidang media setelah selesai lawatan kerja melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak, Kampung Orang Asli Batu Peti, dekat sini kelmarin.
Tambah beliau, PICK banyak bergantung kepada program outreach seperti ini bagi menyelesaikan pemberian vaksin dan akan diteruskan bagi memastikan semua rakyat Malaysia tiada yang tercicir daripada mendapatkan vaksinasi.
“Dengan kerjasama daripada wakil rakyat dan agensi seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli serta pemimpin tempatan seperti Tok Batin yang telah tampil menawarkan diri untuk divaksinasi, ianya telah memberikan kesan yang sangat positif kepada penduduk dan masyarakat Orang Asli.
“Kempen penerangan yang telah dijalankan dikawasan perkampungan Orang Asli sangat berkesan terutama di kawasan Parlimen Jempol ini walaupun kes tidak terlalu banyak di kawasan ini namun penduduk di Parlimen Jempol ini mahu mendapatkan perlindungan melalui suntikan vaksin dan dilihat usaha pemberian penerangan mengenai program vaksinasi ini sangat berjaya,” ujarnya lagi
Khairy yang mengadakan lawatan kerja ke PPV Awam Kompleks Sukan Komuniti Felda Palong 6, PPV Awam Majlis Perbandaran Daerah Jempol, Bahau dan PPV Bergerak di Kampung Orang Asli Batu Peti turut disertai Pengerusi RISDA Malaysia Datuk Mohd Salim Shariff.
-FF