Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Bekas Penyelia Kilang Didakwa Buat Komunikasi Jelik Pengambilan Vaksin

By 6 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Bekas penyelia kilang yang sebelum ini didakwa menyebar berita palsu mengenai kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin COVID-19, hari ini dihadapkan sekali lagi di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas tuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik berkaitan kesan pengambilan vaksin melalui Facebook miliknya, April lepas.

Muhammad Zaki Omar, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

Muhammad Zaki didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook menggunakan nama profil ‘Muhammad Zaki Omar’ pada 8.44 malam, 4 April lepas.

Hantaran itu kemudian dibaca pada 11.30 pagi di Kementerian Kesihatan (KKM) Putrajaya, 5 April lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun peguam Asiah Abd Jalil, yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan perlu menanggung isteri serta lima anak.

“Tertuduh sebelum ini bekerja sebagai penyelia kilang di Singapura dengan pendapatan RM10,000 sebulan. Baru-baru ini, dia telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di bawah Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dan diikat jamin RM10,000 serta pasportnya juga telah diserahkan kepada mahkamah berkenaan,” kata Asiah.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Zaki diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Okt depan untuk sebutan semula kes.

Pada 2 Ogos lepas, Muhammad Zaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan menyebar berita palsu berhubung kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin COVID-19.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda