Skip to main content
Berita TengahMAPerak

Kemunculan ‘Spiderman’ di PPV Kerian Hiburkan Orang Ramai

By 6 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor A’mirah Daman Huri (Kerian)

PARIT BUNTAR, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Kehadiran seorang lelaki yang memakai kostum Spiderman untuk menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kerian Permai menarik perhatian ramai termasuk petugas dan orang awam.

Pekerja swasta, Mohamad Saiful Khairi Ahmad, 45, berkata idea untuk memakai kostum tercetus bagi menampilkan kelainan selain menghiburkan orang ramai di PPV ini.

“Saya hadir bagi menerima dos kedua vaksin dan diharap dengan idea memakai kostum ini dapat menggembirakan para petugas yang bertungkus lumus memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat selain orang ramai yang hadir untuk menerima vaksin,” katanya ketika ditemui di PPV tersebut, di sini hari ini.

Mohamad Saiful juga membawa Jalur Gemilang dan dilihat mengibarkannya di PPV ini bagi menunjukkan semangat patriotik sempena Bulan Kebangsaan.

Mohamad Saiful berkostum Spiderman mengibarkan Jalur Gemilang di PPV Dewan Kerian Permai.

Mohamad Saiful berkostum Spiderman mengibarkan Jalur Gemilang di PPV Dewan Kerian Permai.

“Mungkin ada yang tidak sedar bahawa kita sudah memasuki Bulan Kebangsaan dan disebabkan itu, saya mahu mengajak orang ramai untuk sama-sama kibar Jalur Gemilang tanda cinta kepada negara,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Sukarelawan MyVac Zulkifli Mat Isa, berkata kehadiran Mohamad Saiful amat dialu-alukan memandangkan ini kali kedua beliau hadir dengan kostum yang sama.

“Kehadirannya menarik perhatian ramai dan telatah individu ini menceriakan suasana di PPV seterusnya dapat menghiburkan para petugas yang penat semasa bertugas.

“Kita mengalu-alukan kehadiran penerima vaksin dalam pelbagai cara dan kreativiti asalkan tidak menganggu proses vaksinasi,” katanya.

Orang awam mengambil kesempatan untuk bergambar bersama Spiderman.

Orang awam mengambil kesempatan untuk bergambar bersama Spiderman.

Tambah Zulkifli, bilangan penerima vaksin semakin bertambah dari masa ke masa lebih-lebih lagi pendaftaran secara tanpa janji temu telah bermula di PPV ini.

“Selain PPV ini, pendaftaran penerimaan vaksin secara tanpa janji temu juga telah bermula di PPV Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, Bagan Serai.

“Oleh itu, orang ramai yang berumur 60 tahun ke atas boleh datang ke PPV berkenaan bermula pukul 2 hingga 4 petang bersama-sama bil elektrik atau bil air sebagai bukti bermastautin di kawasan tempat tinggal dan bilangan vaksin yang dikeluarkan tertakluk kepada bekalan,” ujar beliau.

~RJ~

Tinggalkan komen anda