
Laporan/foto: Zurina Saad (Yan)
YAN, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 450 orang penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau telah menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).
Pegawai Kesihatan Yan Dr. Rohana Ahmad, berkata program suntikan vaksin ini menggunakan bas bergerak yang telah diubah suai untuk menjalankan vaksinasi dan menyasarkan masyarakat pelbagai kaum yang berada di pinggir bandar dan jauh dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta golongan warga emas yang uzur dan tidak mampu bergerak ke PPV.
“Bas bergerak ini mampu menempatkan enam tempat suntikan dan ia sebagai usaha bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan menerima vaksin berikutan golongan itu masih kurang mendaftar disebabkan beberapa faktor termasuk capaian internet yang lemah di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui di Perkarangan Pejabat Penghulu Mukim Sala Besar, di sini hari ini.
Beliau turut menyarankan kepada sesiapa yang belum mendaftar supaya segera berbuat demikian serta hadir ke PPV mengikut tarikh dan masa yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan dan berharap agar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mensasarkan 80% penduduk Daerah Yan tercapai tidak lama lagi.
Menurut salah seorang penerima suntikan vaksin, Mohd Faris Othman, 36, beliau menyambut baik program ini yang memudahkan beliau untuk hadir bagi menerima suntikan memandangkan rumah beliau yang agak jauh dari PPV.
“Saya telah dihubungi oleh kakitangan KKM dua hari sebelum suntikan dan saya terus menyatakan persetujuan untuk divaksin setelah dua bulan mendaftar melalui MySejahtera,” katanya ketika ditemui sejurus selesai proses suntikan.
Program yang berlangsung selama sehari ini diseliakan oleh kakitangan KKM dengan mendapat kerjasama dari KRT di bawah Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Yan serta sukarelawan Badan-Badan Bukan kerajaan Daerah Yan (NGO).
~RJ