Skip to main content
MA

Perarakan Jalur Gemilang Rai Hari Terakhir PKPD Klebang Restu

By 9 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norfatihah Abd Jamin/Khairul Nazrie Mat Nayan (Kinta)

IPOH, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Kawasan Perintah Kawasan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Klebang Restu menjadi lokasi pertama dalam Program Sepakat@Komuniti sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang anjuran Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kinta dan Pejabat Penerangan Daerah Kinta.

Menurut Pengarah Penerangan Negeri Perak Mohd Taib Ubah, program ini bukan hanya tertumpu di kawasan Klebang sahaja tetapi akan turut diperluas di seluruh negeri Perak.

“Program ini bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara dan mengeratkan lagi hubungan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan bangsa ke arah pembentukan sebuah negara yang bersatu padu dan harmoni dalam suasana norma baharu.

“Perarakan ini bergerak mengelilingi kawasan perumahan sambil dimeriahkan dengan alunan lagu-lagu patriotik selain hebahan mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya dalam sesi sidang media selepas selesai perarakan di Taman Medan Klebang Restu, di sini pagi tadi.

Selain PDT Kinta dan Pejabat Penerangan Daerah Kinta, perarakan ini turut disertai beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Angkatan Pertahanan Awam, Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta dengan pematuhan SOP yang ketat serta melibatkan 10 buah kenderaan sahaja.

Gelagat penduduk yang meraikan kempen kibar Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.

Gelagat penduduk yang meraikan kempen kibar Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.

“Apa yang kita lihat, penduduk menyambut baik program ini dan kelihatan teruja sambil mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.

“Menariknya, mereka turut mengenakan pakaian tradisional seperti berbaju Melayu serta bertanjak dan paling penting pelbagai lapisan masyarakat tidak kira kaum dan umur turut meraikan perarakan ini,” tambahnya.

Meor Hezbullah melekatkan magnet Jalur Gemilang pada kenderaan sambil disaksikan Mohd Taib.

Meor Hezbullah melekatkan magnet Jalur Gemilang pada kenderaan sambil disaksikan o;eh Mohd Taib.

~RJ~

Tinggalkan komen anda