
Laporan/foto: Kalaimani Munian/Mohd Aliff Iman Mohd Zaim (Kampar)
IPOH, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Kesihatan l Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Gopeng untuk meninjau keadaan dan kelancaran proses vaksinasi kepada penduduk di daerah Kampar.
Dr. Noor Azmi, berkata lawatan ini dilakukan bagi melihat sendiri keadaan dan mengambil tahu permasalahan yang wujud dan dihadapi oleh para petugas, sukarelawan dan agensi yang terlibat secara langsung di PPV ini.
“Berkenaan sasaran Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Daerah Kampar untuk mencapai 80 peratus komuniti berkelompok sebelum hujung bulan ini, 21.9 peratus penduduk telah divaksinasi di negeri Perak tetapi di daerah Kampar sahaja kita telah berjaya mencapai 41.2 peratus.
“Ini satu pencapaian yang agak baik di daerah ini jika dibandingkan dengan pencapaian negeri di mana PPV ini mula beroperasi pada awal bulan Julai 2021 bagi meningkatkan vaksinasi harian di daerah ini,” katanya ketika ditemui di PPV tersebut, di sini hari ini.
Tambah Dr. Noor Azmi, penduduk di Perak kelihatan tidak sabar untuk divaksinasi sehingga sanggup menelefon PPV dan meminta janji temu mereka dipercepatkan.
“Bekalan vaksin di negeri Perak masih mencukupi dan bekalan baru akan tiba dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan masyarakat pinggir bandar dan masyarakat orang asli di Kampar.
“Ini bukan perkara yang mudah tetapi saya berasa bangga dan berterima kasih kerana kadar suntikan vaksinasi bagi penduduk Kampar dapat dipertingkat dan saya ingin menyeru agar rakyat negeri ini terus bersatu hati tanpa mengira kaum, bangsa dan agama dalam memerangi COVID-19,” ujarnya.
~RJ~