
Laporan/foto: Stephen Jipolin Jouti (Kota Kinabalu)
PUTATAN, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Putatan bukan sahaja mempergiat kempen kesedaran berkaitan pembudayaan norma baharu sebaliknya akan terus mempromosi semangat kemerdekaan melalui kempen Kibar Jalur Gemilang menjelang Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-64 pada 31 Ogos akan datang.
Pegawai Penerangan Daerah Putatan Zaidi Jamin, berkata JaPen khususnya Pejabat Penerangan di peringkat daerah akan terus mempergiat kempen kesedaran kepada masyarakat, bukan hanya ke arah memutuskan rangkaian wabak COVID-19 malah memastikan masyarakat terus menghargai dan menghayati erti kemerdekaan sekali gus turut sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.
“Walaupun sambutan Hari Kebangsaan tahun ini disambut dalam kehidupan norma baharu, namun semangat patriotisme kalangan masyarakat amat penting bagi membangkitkan semangat cintakan negara yang kita sambut setiap tahun.

RAKAN STRATEGIK… Pembantu Penerangan, Stephen Jipolin Jouti (kiri) mewakili Zaidi menyampaikan Jalur Gemilang kepada Ketua UPPM Tanjung Aru, Riduan Datuk Aklee (kanan).
“Perkara ini penting agar masyarakat terus merasai nikmat kemerdekaan dan terus menghargai jasa, pengorbanan dan kebebasan yang telah diperjuangkan oleh pahlawan dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan terdahulu.
“Sungguhpun Jalur Gemilang yang disampaikan amat terhad namun penyerahan kepada agensi dan rakan strategik akan diagih semampu yang boleh agar suasana dan kemeriahan sambutan hari kebangsaan dapat dirasai bersama khususnya kalangan masyarakat sekitar daerah Putatan.
“Dengan langkah ini kita amat berharap agar lebih banyak lagi bangunan-bangunan kerajaan, permis perniagaan dan kediaman persendirian mengibarkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan lagi sambutan bulan kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini,” jelasnya.

Pembantu Penerangan, Hafidah Japar (kanan) menyampaikan Jalur Gemilang kepada Ketua UPPM Petagas, Latip Jiar sebagai simbolik pengimarahan bulan kebangsaan.
Tambah beliau, JaPen Putatan akan terus berkerjasama dengan setiap agensi kerajaan dan rakan strategik peringkat daerah bagi memastikan usaha memerangi COVID-19 dipergiatkan dan pada masa yang sama berusaha memperkukuhkan perpaduan masyarakat demi kesejahteraan bersama.
Zaidi berkata demikian pada majlis ringkas penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua-ketua Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Daerah Putatan di Pejabat Penerangan Daerah, di sini semalam.
-RI