Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMAPerak

Semangat Patriotisme Terus Disemai dalam Norma Baharu

By 17 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor A’mirah Daman Huri(Kerian)

PARIT BUNTAR, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Semangat patriotisme harus diteruskan bagi menghargai dan memperingati jasa bakti perjuangan pimpinan lalu dalam mencapai kemerdekaan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Parit Buntar Rosni Ramli, berkata walaupun Malaysia masih berjuang dalam menangani pandemik COVID-19, rakyat negara ini tetap perlu menunjukkan rasa cinta akan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda solidariti menangani virus yang belum ada penghujungnya.

“Kita berusaha mengajak penduduk Parit Buntar untuk sama-sama menyemarakkan semangat patriotisme ini walaupun dalam keadaan norma baharu dengan mengedarkan Jalur Gemilang kepada mereka kerana mungkin terdapat segelintir penduduk yang putus semangat menghadapi pandemik seterusnya kekangan menyertai pelbagai aktiviti kemerdekaan sepanjang bulan Ogos hingga September ini,” katanya ketika ditemuramah selepas selesai mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di hadapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kerian Permai, di sini pagi tadi.

Rosni mengedarkan Jalur Gemilang kepada petugas PPV Dewan Kerian Permai.

Rosni mengedarkan Jalur Gemilang kepada petugas PPV Dewan Kerian Permai.

Program mengedarkan bendera Malaysia ini berkonsepkan pandu lalu dan dilakukan di sekitar PPV dan diedarkan kepada penduduk setempat.

Tambah Rosni, semangat cinta akan negara dan menghargai keamanan dan kemakmuran negara harus diteruskan dalam apa jua keadaan yang dihadapi.

“Seperti sedia maklum, KRT merupakan agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pejabat Perpaduan Daerah yang menjalankan pelbagai aktiviti di kawasan bawah jagaan KRT namun kesan pandemik, pelbagai aktiviti yang dijalankan tidak dapat dilaksanakan seperti tahun-tahun lalu dan terdapat beberapa program yang dijalankan secara norma baharu dalam kuantiti penyertaan yang sangat sedikit.

“Saya amat berterima kasih kepada agensi yang memberi kerjasama dalam menjayakan program hari ini termasuk Pejabat Penerangan Daerah Kerian yang turut turun padang membantu mengedarkan Jalur Gemilang dan tidak lupa kepada Pejabat Perpaduan Daerah yang menjadi tunjang utama dalam organisasi kami selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu menjaga lalu lintas sepanjang program berlangsung,” katanya.

Turut hadir Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Kerian Nor Azizatul Ainah Baharuddin.

~RJ~

Tinggalkan komen anda