
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (LMS)
CHANGKAT JERING, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Penyerahan Jalur Gemilang kepada penduduk setempat menjadi simbolik untuk menyemarakkan lagi kehangatan menyambut Hari Kebangsaan yang bakal menjelang tiba.
Pesara kerajaan Mohamad Minhad, 73, berkata penerimaan Jalur Gemilang daripada Pejabat Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) amat bermakna kerana saban tahun menyambut Bulan Kebangsaan ini dengan menghiasi setiap sudut kawasan perumahan yang didiami dengan bendera.
“Menjelang 31 Ogos ini, semangat kian berkobar-kobar untuk terus menghias kawasan perumahan dengan Jalur Gemilang termasuk bendera negeri-negeri bagi membuktikan semangat jati diri yang ada dalam diri tidak akan pernah luntur setiap kali menyambut Hari Kemerdekaan negara.
“Sebagai anak jati Malaysia, saya berasa bangga dilahirkan sebagai rakyat negara ini kerana suatu ketika dulu Malaysia pernah dijajah oleh British hingga akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kuning Sari, di sini hari ini.

Antara bahan-bahan kitar semula yang digunakan oleh Mohamad Minhad bagi menonjolkan kreativiti dengan dekorasi yang kreatif.
Tambah Mohamad, kreativiti menghias kawasan kediaman hingga kejiranan ini adalah hasil bahan terpakai seperti sabut kelapa, botol plastik, stirofoam, termasuk bahan acuan yang digunakan untuk mewarna bahan-bahan tersebut dengan kos anggaran sekitar RM200 hingga RM300.
“Saya sentiasa menerapkan dalam diri ini tentang semangat kemerdekaan agar terus cinta dan menghargai tanah air ini kerana jika bukan kita siapa lagi yang akan mempertahankan bumi bertuah Malaysia ini daripada dijajah semula,” katanya.
~RJ~