
Laporan/foto: Mahyudin Abd Rani (Seberang Perai Selatan)
SUNGAI BAKAP, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Info on Wheels (IoW) Merdeka tetap menyemarakkan semangat patriotisme dalam menyambut Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Selatan Farhani Ismail, berkata sebagai rakyat yang bertanggungjawab, semangat cintakan negara perlu ada dan disemai dalam diri masyarakat.
“Semangat patriotisme sebagai tanda menghargai pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu untuk mencapai kemerdekaan.
“Walaupun negara kini berdepan dengan pandemik COVID-19, diharap ianya tidak melunturkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat dan mengibarkan jalur gemilang merupakan salah satu cara menzahirkan semangat cintakan negara dalam suasana norma baharu,” katanya ditemui ketika mengedarkan bendera di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Sungai Bakap, di sini semalam.

Petugas di PPV mengedarkan beg mengandungi bendera kepada penerima vaksin dalam suasana norma baharu.
Menurut Farhani, program ini diadakan secara pandu lalu dengan edaran bendera diberikan kepada penerima-penerima vaksin yang telah selesai divaksin dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Selain di PPV edaran di beberapa premis perniagaan di kawasan sekitar turut diadakan dengan harapan ianya memberi kesedaran kepada orang ramai bagi bersama-sama menghargai erti kemerdekaan,” tambahnya.
Turut bersama dalam program ini adalah Skuad Agen Basmi COVID (ABC) yang terdiri daripada Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Selatan, Angkatan Pertahanan Awam, PDRM dan Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Selatan.
-ii-







