
Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam/Nurfariza Farnoh (Melaka Tengah)
AYER KEROH, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – “Tidak kaya tidak apa, janji handsome” merupakan ungkapan yang mencuit hati oleh Ramnah Abd Ghani yang lebih mesra disapa Cik Menah dalam kalangan penduduk setempat yang ditemui sempena Program Info on Wheels Merdeka anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka.
Cik Menah merupakan individu yang tular melalui media sosial terutamanya dalam kalangan rakyat Melaka kerana telatah percakapan beliau dalam loghat Melaka menjadi tarikan orang ramai untuk lebih mengenali budaya dan tatacara Negeri Melaka.
“Merdeka tetap Merdeka walaupun negara ketika ini tengah berperang dengan COVID-19 namun sambutan ini diraikan setahun sekali tanpa mengira kaum, bangsa dan juga umur dalam kalangan kita bagi mengenang peristiwa penjajahan Tanah Melayu suatu ketika dahulu.
“Semangat kemerdekaan masih utuh dalam diri dengan keadaan sekarang yang lebih ke arah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta sentiasa memakai pelitup muka namun kibaran Jalur Gemilang menjadi keutamaan pada bulan Ogos ini.
“Terima kasih kepada agensi yang terlibat terutama JaPen Melaka yang sanggup datang ke teratak usang ini bagi bersama mengedarkan Jalur Gemilang dalam meraikan Bulan Kemerdekaan yang merupakan tarikh keramat kepada semua orang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Sungai Putat, di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Putat Ishak Ghani, berkata inisiatif yang dijalankan oleh pihak JaPen Melaka ini harus dicontohi oleh agensi kerajaan mahupun swasta dalam menjayakan Hari Kebangsaan 2021 terutama bagi komuniti kampung di Negeri Melaka ketika orang ramai lebih kearah permasalahan COVID-19 dan politik yang hangat diperkatakan baru–baru ini.
“Melibatkan individu seperti Cik Menah Sungai Putat yang tular di media sosial ini merupakan idea yang baik daripada JaPen Melaka kerana dapat mempengaruhi setiap lapisan umur dalam memberikan satu platform yang mudah bagi mengibarkan Jalur Gemilang yang semakin pudar dikalangan golongan belia terutamanya yang meningkat dewasa,” katanya.
-FF