
Laporan/foto: Anis Hayati Tom (Kota Kinabalu)
KENINGAU, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan segara bagi memastikan penduduk dan pelajar Kampung Pangi, Tenom dapat menikmati kembali liputan telekomunikasi yang lebih baik.
SKMM dalam satu kenyataan menjelaskan, ia susulan daripada laporan media berkenaan aduan liputan internet di kawasan tersebut menjadikan pihak SKMM dari cawangan Keningau bersama dengan wakil penyedia perkhidmatan telah mengadakan lawatan ke lokasi aduan pada 19 Ogos 2021.
“Hasil lawatan tersebut mendapati, wujud masalah pada sistem transmisi penghantaran terminal melalui satelit (VSAT) di menara komunikasi yang berdekatan.
“Sehubungan itu, SKMM telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan yang berkenaan untuk mengatasi masalah tersebut dengan kadar segera bagi memastikan penduduk dan pelajar di Kampung Pangi dapat menikmati kembali liputan telekomunikasi yang lebih baik sekali gus memudahkan urusan seharian mereka.
“SKMM juga mempunyai perancangan jangka panjang untuk menangani masalah capaian Internet di kawasan Kampung Pangi, apabila sebuah menara komunikasi yang terletak kira-kira 0.17 km dari Sekolah Kebangsaan Kampung Pangi akan dinaik taraf untuk memberikan perkhidmatan 4G/LTE,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan, melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 28 buah Menara baharu akan dibina di daerah ini yang dijangka bermula pada suku terakhir 2021 dan siap secara berperingkat pada Disember 2022.
“Kerja-kerja naik taraf menara komunikasi berkenaan dijangka siap pada bulan April 2022 sekali gus menyelesaikan masalah liputan internet serta membawa capaian internet yang lebih menyeluruh kepada penduduk di Kampung Pangi,” katanya.
-RI