
Laporan/foto: Nur Farhana Azman (Melaka)
JASIN, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Semangat patriotik cinta pada negara terus sebati dalam jiwa pesara-pesara tentera yang pernah berjuang mempertahankan tanah air daripada anasir yang menganggu-gugat keharmoniaan negara.
Pesara Tentera Azman Mahmud, berkata sambutan Hari Kebangsaan 2021 dalam norma baharu tidak akan sesekali mematahkan semangatnya untuk turut serta dalam menghiasi halaman rumahnya dengan kibaran Jalur Gemilang.
“Jika dahulu setiap tahun dapat bawak anak-anak dan cucu melihat perarakan Hari Kebangsaan namun kini kita terpaksa reda dengan sambutan secara norma baharu di rumah.
“Sayangilah negara kita, tunjukkan semangat patriotik tidak kira usia tua mahupun muda dan hargai pejuang-pejuang tanah air dalam menuntut kemerdekaan yang telah berjaya kita kecapi sehingga kini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Maju, di sini semalam.
Bagi pesara tentera Borhan Maaras, yang pernah bertempur dengan penganas komunis ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melihat sendiri bagaimana perihnya perjuangan membebaskan negara daripada ancaman musuh negara.
“Saya menyeru masyarakat Malaysia dan khasnya generasi muda supaya menghargai kebebasan dan keharmonian yang kita kecapi, kibarkan Jalur Gemilang tanda sayang dan hormat pada negara.
“Hari Kemerdekaan negara kita akan tiba beberapa hari lagi, mari kita semarakkan sambutannya dengan memasang satu rumah satu bendera, taman perumahan, kampung-kampung juga perlu bekerjasama meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 dan Kemerdekaan Negara ke-64,” ujar Borhan.
-FF