
EJEN PENYEMARAK CINTAKAN NEGARA | HARI KEBANGSAAN 2021
Laporan/foto: Mohamad Zaidy/JaPen (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Info on Wheels (IOW) Khas @Merdeka Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan pemandu-pemandu teksi WP Putrajaya dan Cyberjaya dilaksanakan bagi menyemarakkan dan menggelorakan kempen kibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2021.
Simbolik Penyerahan Jalur Gemilang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), Jabatan Penerangan Malaysia Hashim Bedu kepada Pengerusi Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad Zakuan Harun.
Menurut Hashim, program ini antara lain bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya melalui penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Putrajaya dan Cyberjaya yang dilihat sebagai agen memasarkan maklumat dasar-dasar kerajaan dan seterusnya dapat membantu jabatan menjayakan Kempen Kibar Jalur Gemilang.

Hashim Bedu (dua dari kanan) dan Pengerusi Koperasi Pengangkutan Putrajaya & Cyberjaya Berhad Zakuan Harun (kanan) ketika menyempurnakan program IoW Khas@Merdeka Putrajaya.
“Walaupun diadakan dalam skala yang kecil dan hanya melibatkan 10 buah teksi, penganjuran program ini dilihat dapat memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan NGO dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan bulan Kebangsaan pada tahun ini,” katanya ketika menyempurnakan program tersebut di Anjung Kompleks Kementerian Komunikasi dan Mulltimedia Malaysia (KKMM), di sini hari ini.
Hashim berkata, program ini akan terus dilaksanakan sepanjang Bulan Kebangsaan sehingga Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2021.
“Setakat hari ini JaPen telah melaksanakan sebanyak 2,432 Program loW @Merdeka yang melibatkan 10,970 lokasi di seluruh negara dengan agihan sebanyak 67, 223 helai Jalur Gemilang.
“JaPen turut mengagihkan sebanyak 200 helai Jalur Gemilang untuk edaran kepada teksi-teksi sekitar Putrajaya dan Cyberjaya,” katanya.
-ZS-