
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari (Johor)/MEDKOM
KOTA ISKANDAR, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Jualan Makmur Johor (JMJ) di salah sebuah syarikat e-dagang terkemuka dijangka mampu memberi manfaat kepada 25,000 pengguna yang menetap di negeri ini.
Dalam program JMJ ini, para pengguna ditawarkan pelbagai barangan keperluan dengan harga berpatutan menerusi platform dalam talian syarikat tersebut bermula hari ini sehingga November depan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Dr. Chong Fat Full, program ini antara inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama Shopee serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor bagi membantu golongan B40 dan M40 di negeri ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Sebanyak RM500,000 diperuntukkan oleh kerajaan negeri menerusi program ini dan bakal menawarkan pembelian barangan keperluan dengan potongan harga sebanyak RM20 bagi setiap pembelian minimum RM40 di bawah baucar Jualan Makmur Johor,” katanya ketika ditemui semasa Pelancaran Program Jualan Makmur Johor (JMJ) di Pejabat Menteri Besar, di sini hari ini.

Hasni Mohammad (tengah) bergambar bersama para tetamu terhormat yang turut hadir pada Pelancaran JMJ hari ini.
Tambah beliau, program ini dikhaskan untuk warganegara Malaysia yang menetap di negeri itu sahaja.
“Para pengguna boleh mendapatkan pautan JMJ di aplikasi syarikat tersebut dan mereka boleh mendapatkan pelbagai barangan keperluan daripada pelbagai vendor yang disediakan mengikut pilihan.
“Selain itu, pihak syarikat itu juga turut menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma ke seluruh Johor,” ujarnya.
Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dan turut dihadiri, Pegawai Kewangan Negeri Johor Datuk Salehudin Hassan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim, Pengarah KPDNHEP Johor Mohd. Hairul Anuar Bohro dan Ketua Dasar Awam dan Hal Ehwal Kerajaan Shopee Malaysia Leeroy Ting Kah Sing.
-NI-