
Laporan/foto: Syaiful Harif Adnan/Muhaimin Musa (WPKL)
KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Cheras bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JaPen WPKLP) menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan mengikut norma baharu dengan menganjurkan pelbagai pertandingan secara maya menerusi Program Merdeka@Komuniti.
Pengerusi KRT Taman Desa Cheras, Azari Adam, berkata bahawa melalui program seumpama ini dapat dilihat masyarakat setempat peka dengan keadaan sekeliling dengan usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
“Antara program yang dijalankan secara maya termasuklah pertandingan deklamasi sajak, pakaian beragam dan menghias rumah serta blok kediaman yang mana penjurian dinilai berdasarkan Like diterima menerusi aplikasi Facebook Taman Desa Cheras.
“Pada masa yang sama penduduk terus mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing bagi menunjukkan semangat patriotik yang masih utuh walaupun tidak semeriah sambutan pada tahun-tahun sebelum pandemik melanda negara,” katanya ketika ditemui sewaktu Program Merdeka@Komuniti di kawasan kediaman tersebut, sini kelmarin.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah JaPen WPKLP, Lim Ann Teck.
Menerusi program tersebut edaran Jalur Gemilang kepada beberapa premis perniagaan di sekitar kawasan Taman Desa Cheras turut diadakan dengan iringan lagu-lagu patriotik bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan.
Sementara itu, kesemua pemenang pertandingan Merdeka@Komuniti turut diumumkan menerusi majlis secara maya di aplikasi Google Meet.
-ZS-