
Laporan/foto: Janifer Stanis (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Vaksinasi Bandaraya Kota Kinabalu secara tanpa janji temu telah membuka hati seorang pengawal keselamatan untuk menerima vaksinasi.
Rahmat Laminda, 42, berkata walaupun sudah lama mengetahui tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tetapi tidak terdetik di hatinya untuk mendaftarkan diri dalam MySejahtera dan sekali gus mendapatkan suntikan vaksin.
“Saya sudah mengetahui mengenai program PICK seawal bulan Mac lagi tetapi pelbagai perkara buruk mengenai vaksin yang tular di media sosial dan dikongsikan oleh rakan-rakan menyebabkan saya ragu-ragu dan takut mengambil vaksin.
“Saya juga risau penyakit darah tinggi dan masalah usus yang saya alami akan bertambah teruk selepas pengambilan vaksin kerana kurang mendapat maklumat yang tepat mengenai kesan pengambilan vaksin.

Rahmat menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat tepat sekiranya mempunyai keraguan terhadap vaksin ini.
“Empat hari terakhir ini, tidur saya sangat terganggu dan setelah mempertimbangkan baik buruk yang berlaku kepada diri sendiri dan keluarga sekiranya tidak mengambil vaksin, saya akhirnya mengambil keputusan untuk datang ke pusat ini,” ujarnya.
Bapa kepada empat orang cahayamata ini turut menasihatkan orang ramai agar mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor atau pakar bidang yang arif sekiranya mempunyai keraguan terhadap vaksin dan jangan terlalu taksub dengan berita-berita yang tidak sahih.
“Adalah lebih baik kita mendapatkan maklumat yang sahih daripada media sosial kerajaan seperti Facebook Kementerian Kesihatan, Jabatan Penerangan Malaysia dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, pekerja kontrak, Bernard Torres, 47, bersyukur apabila program seumpamanya diadakan di pusat bandar kerana kedudukan yang strategik dan lebih mudah mendapatkan pengangkutan awam.
“Sebenarnya saya dan isteri sudah mendaftar dalam aplikasi MySejahtera tetapi belum mendapat sebarang maklum balas mengenai tarikh suntikan, jadi sebaik sahaja mendapat tahu tentang program ini melalui rakan yang sudah mendapatkan suntikan vaksin di sini awal pagi tadi, saya terus membawa isteri datang ke sini.
“Saya bersyukur kerana akhirnya dapat menerima suntikan vaksin hari ini memandangkan sudah beberapa kali saya terlepas peluang disebabkan lambat mendapat maklumat,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Program Vaksinasi Tanpa Janji Temu Bandaraya Kota Kinabalu Saiman Angak, berkata seramai 476 individu telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 jenis Sinovac dalam program tersebut yang bermula 8.30 pagi sehingga 4.00 petang.
Saiman yang juga merupakan Pengarah Jabatan Pengangkutan dan Trafik, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) turut menyeru orang ramai sekitar Bandaraya Kota Kinabalu agar segera mengambil peluang untuk datang ke program tersebut yang telah bermula pada 30 Ogos dan berakhir pada 1 September ini.
-RI