Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pertandingan Menghias Kenderaan Semarakkan Sambutan Hari Kebangsaan KRT Taman Seroja

By 1 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Tengku Syarinah/Juliawati Razali (Sepang)

SEPANG, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Penduduk di KRT Taman Seroja Bandar Baru Salak Tinggi di sini menyambut Hari Kebangsaan kali ini dengan pelbagai pertandingan yang diadakan bermula awal Ogos lalu bagi memupuk semangat cintakan negara.

Pengerusi KRT Taman Seroja Rizal Abdullah, 40, berkata idea ini tercetus hasil perbincangan bersama penduduk setempat untuk mengadakan sambutan ini mengikut SOP yang telah ditetapkan memandangkan negara masih bergelut menghadapi pandemik COVID-19 ketika ini.

“Program penutupan pertandingan poster digital kreatif dan pertandingan menghias kereta merdeka 2021 merupakan acara kemuncak pada hari ini.

“Sebanyak tujuh buah kenderaan daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghiasi kenderaan mereka dengan jalur gemilang mengikut kreativiti masing-masing,” katanya yang ditemui sempena program di kawasan perumahan tersebut, di sini semalam.

Kenderaan yang dihiasi dengan reka bentuk kereta kebal ini mendapat tempat ketiga.

Kenderaan yang dihiasi dengan reka bentuk kereta kebal ini mendapat tempat ketiga.

Menurut Rizal, pertandingan sebegini diadakan bagi menyuntik semangat kemerdekaan dalam kalangan setiap penduduk yang berbilang kaum terutama kepada generasi muda dan kanak-kanak agar dapat menyemai semangat patriotisme di dalam diri.

“Program sebegini akan diteruskan setiap tahun memandangkan mendapat sambutan yang cukup baik dan meriah dalam kalangan penduduk.

“Ia juga secara tidak langsung dapat menyatu padukan seluruh penduduk di sini agar kekal harmoni dalam hidup bermasyarakat,” katanya.

Lori yang dihiasi dengan bendera dari seluruh negeri di Malaysia dan jalur gemilang mendapat tempat pertama dalam pertandingan menghias kenderaan.

Lori yang dihiasi dengan bendera dari seluruh negeri di Malaysia dan jalur gemilang mendapat tempat pertama dalam pertandingan menghias kenderaan.

Menurut salah seorang penduduk di situ, Siti Fatimah, 45, program sebegini sedikit sebanyak mengubat kerinduan buat mereka yang tidak dapat menyambut Hari Kebangsaan di tempat lain seperti kebiasaan sebelum negara dilanda pandemik COVID-19.

“Kerjasama yang ditunjukkan oleh setiap penduduk di sini perlu diteruskan dari masa ke masa agar program seperti ini dapat diadakan pada masa akan datang,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda