
Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)
JASIN, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Sempena Hari Kemerdekaan kelmarin, Pejabat Penerangan Daerah Jasin telah mengadakan Kempen Kibar Jalur Gemilang Parlimen Jasin yang meliputi kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jasin, bermula dari DUN Bemban, Rim, Serkam, Merlimau dan berakhir di Sungai Rambai Gerbang Selatan Negeri Melaka.
Perjalanan lebih 100 kilometer membelah perkampungan, bandar, dan persisiran pantai membawa masej penting supaya rakyat bersama merasakan bahang Sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 dan Sambutan Hari Malaysia 16 September yang akan diraikan tidak lama lagi.
Timbalan Speaker DUN Melaka Datuk Ghazale Mohamad, berkata cabaran negara masa kini lebih mencabar bukan sahaja dengan masalah Pendamik COVID-19 malah menerapkan jati diri dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Rakyat harus bersatu hati bersama kerajaan bagi memutuskan penularan wabak ini, kita sebagai rakyat Malaysia harus membulatkan semangat terapkan kecintaan tanpa belah bahagi kepada negara tercinta.
“Mari lah kibarkan Jalur Gemilang, terima kasih kepada Pejabat Penerangan Daerah Jasin yang sentiasa membantu melancarkan pelbagai kempen untuk rakyat lebih memahami dasar-dasar kerajaan,” ujarnya ketika ditemui ketika Kempen Kibar Jalur Gemilang Merdeka@Komuniti Peringkat Parlimen Jasin di Pejabat Penerangan tersebut, di sini kelmarin.
Menurut Pegawai Penerangan Jasin Azreen Ahmad, kempen ini akan terus dijalankan sehingga Hari Malaysia, walaupun suasana berbeza akibat penularan COVID-19, mereka tetap meneruskan amanah yang diberi dengan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam apa jua program yang dilaksanakan.
“Tidak ada kumpulan yang besar dan tidak berada dalam sesuatu kawasan dalam tempoh masa yang lama antara pendekatan yang diambil dalam Kempen Kibar Jalur Gemilang serta mengamalkan norma baharu dalam semua aktiviti yang diadakan,” ujar Azreen.
-FF