
Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)
PAYA RUMPUT, 25 Mei (MalaysiaAktif) – Program Ibadah Korban anjuran Madrasah Al- Amin Taman Rambai Utama tahun ini mencatat penyertaan memberangsangkan apabila sebanyak 31 ekor lembu dan 12 ekor kambing akan disembelih sempena sambutan Aidiladha.
Program yang bakal berlangsung di kawasan surau itu bukan sahaja menjadi medan ibadah dan gotong-royong penduduk setempat, malah turut membuka peluang kepada masyarakat sekitar untuk menerima agihan daging korban.
Pengerusi Madrasah Al- Amin Taman Rambai Utama, Shamsudin Muhamed berkata program berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan setiap tahun hasil kerjasama ahli kariah serta para penyumbang yang prihatin terhadap golongan memerlukan.
“Alhamdulillah, tahun ini jumlah korban melebihi 30 ekor dan kita amat bersyukur dengan sokongan orang ramai.
“Surau turut mempelawa masyarakat sekitar hadir memeriahkan program ini serta mengambil daging korban yang akan diagihkan nanti,” katanya, ketika ditemui sempena persiapan program di Taman Rambai Utama di sini, semalam.
Beliau berkata ibadah korban bukan sekadar amalan tahunan, malah menjadi medium mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
-FN





