
Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Kuantan)
KUANTAN, 1 Sept (Malaysiaaktif) – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menyempurnakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang 2021 yang diadakan secara hibrid di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, semalam.
Baginda kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terdiri daripada 107 anggota diketuai oleh Mejar Orbino Anak Devan dan Kapten Shah Ammar Ridha Saidi.
Pada majlis tersebut, acara bermula dengan menaikkan bendera Jalur Gemilang dengan iringan nyanyian koir lagu Negaraku oleh 14 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut 1 Tanjung Gelang yang diketuai oleh Pegawai Waran 2 TLS Asmawi Mohd Solleh diikuti dengan bacaan ikrar serta laungan merdeka oleh Mejar Mohd Husni Saberi dari Batalion Ke 12 Askar Melayu Diraja Mekanize.
Upacara diteruskan dengan persembahan dari Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri, persembahan artis-artis jemputan dan upacara lintas hormat oleh lima buah pesawat Sukhoi SU-30 MKM yang diterbangkan khas oleh Nombor 12 Skuadron yang berpengkalan di Pengkalan Udara Gong Kedak Terengganu.
Walaupun pada tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan diadakan dalam suasana norma baharu dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan namun kemeriahannya masih dapat dirasakan oleh masyarakat setempat kerana acara ini dapat disaksikan secara langsung melalui laman Facebook Kerajaan Negeri Pahang, Pahangku Media dan Jabatan Penerangan Negeri Pahang.
-AH-