
Laporan/foto: Siti Norzila Dolah (LMS)/Facebook Pejabat Penerangan Daerah LMS
TRONG, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kebangsaan merupakan acara tahunan negara dan merupakan aktiviti yang mesti dilaksanakan walaupun disambut secara sederhana dalam suasana norma baharu.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Mohd Samsul Alias ketika ditemui berkata pada setiap tahun penduduk di Taman Desa Bakti Trong tidak pernah terkecuali mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan.
“Penduduk akan membuat perancangan sejak awal tahun aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan dan kebiasaannya acara ini bermula pertengahan Ogos dan majlis kemuncak akan diadakan pada 31 Ogos dengan sambutan yang menggalakkan.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Penerangan yang sentiasa turun padang menganjurkan aktiviti bersama masyarakat dan memastikan agar masyarakat tetap bersemangat untuk meraikan Hari Kemerdekaan walaupun dalam suasana norma baharu serta memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) terus dipatuhi,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 50 helai bendera kenderaan, 100 helai bendera tangan dan 100 helai Jalur Gemilang telah diedarkan kepada penduduk di taman ini.
“Saya yakin suasana kemerdekaan ini turut diraikan dengan penuh semangat walaupun dalam keadaan negara yang sedang berdepan dengan pandemik dan saya sangat gembira apabila semua penduduk berdiri di hadapan rumah masing-masing ketika nyanyian lagu Negaraku berkumandang,” ujarnya.
Beliau turut mengharapkan rakyat di negara ini terutama penduduk di kawasan ini untuk terus menerapkan nilai patriotik dan bersama membantu kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.
“Saya juga berharap program seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan masyarakat tidak kira kaum dan agama sentiasa menerapkan semangat cintakan negara dan saya amat menghargai penglibatan semua warga yang terlibat bagi menjayakan program hari ini kerana sambutan daripada penduduk amat menggalakkan,” ujarnya ketika ditemu ramah di Taman Desa Bakti Trong di sini, semalam.
Hadir merasmikan program Info On Wheels (IOW) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) Penghulu Mukim Trong, Ashraf Ali Anuardeen.
~RJ~