
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
IPOH, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Berita palsu didefinisikan sebagai kandungan atau maklumat yang sengaja direka dan disebarkan dengan niat untuk memperdaya dan mengelirukan pembaca yang secara langsung mengakibatkan kegusaran dan kegentaran awam.
Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Hanita Izam Abd Rahman, berkata penyebaran berita palsu sememangnya menyukarkan usaha kerajaan untuk memulihkan negara kesan dari wabak COVID-19.
“Keadaan panik yang dicetuskan oleh penyebar berita palsu menjadikan sesetengah masyarakat bertindak melulu tanpa berfikir panjang hingga mewujudkan pembaziran sumber dari aspek tenaga, kewangan dan fokus kerajaan yang sepatutnya boleh ditumpukan secara total ke atas usaha membendung penyebaran wabak COVID-19 serta pemulihan ekonomi negara.

Hanita (kiri) bersama moderator Mohd Zailani Othman di sebalik takbir pelaksanaan program yang berlangsung.
“Keseriusan penyebaran berita palsu turut diakui oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang menyifatkan penyebaran berita palsu tular dengan lebih pantas berbanding penularan COVID-19 kerana ramai pengguna media sosial pada hari ini ‘mengambil alih’ tugas wartawan dengan menyebarkan maklumat tanpa batasan masa,” kata beliau ketika dijemput sebagai panel Program Cambah Minda dengan topik ‘Berita Palsu: Tidak Pasti Jangan Kongsi’ yang disiarkan secara penstriman langsung di Facebook Penerangan Perak Page, hari ini.
Menurut Hanita, bagi memupuk kesedaran serta mendidik masyarakat Malaysia agar tidak mudah terjebak menjadi mangsa virus berita palsu, SKMM secara proaktif telah menjalankan kempen kesedaran secara bersepadu, sama ada melalui penglibatan pihak media seperti stesen-stesen televisyen merangkumi awam dan swasta, media cetak dan media dalam talian, mahupun secara bersemuka.
“Melalui kempen-kempen yang dijalankan, orang ramai diberi pencerahan mengenai penguatkuasaan dan tindakan undang-undang yang bakal diterima penyebar dan pencipta berita palsu selain digalakkan supaya lebih bijak menilai berita-berita yang diterima sama ada ianya palsu atau sahih.
“Ini boleh dilakukan dengan menyemak laman-laman web yang berwibawa dan boleh dipercayai seperti Sebenarnya.my,” katanya.
~ RJ~