Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Pelan Strategik KKMM 2019-2023 Diperkenal

By 17 Januari 2019Tiada komen3 minit bacaan

PUTRAJAYA, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) memperkenalkan Pelan Strategik 2019-2023 sebagai rangka kerja kementerian serta jabatan, agensi dan bahagian di bawahnya bagi tempoh lima tahun, kata Menterinya Gobind Singh Deo.

“Pelan strategik ini adalah imperatif bagi memastikan gerak kerja kementerian dilaksanakan mengikut perancangan berasaskan visi, misi dan objektif kementerian serta dasar-dasar terkini kerajaan,” katanya pada Majlis Amanat Menteri di kementeriannya di sini hari ini.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor, ketua-ketua jabatan dan peneraju agensi serta Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nurini Kassim.

Enam teras strategik digariskan dalam pelan strategik 2019-2023 iaitu memantapkan infrastruktur telekomunikasi yang terpercaya, berpatutan, berkualiti dan kebolehcapaian; memacu ekonomi digital dan ICT ke arah negara maju; memperkukuh kawal selia ekosistem komunikasi dan multimedia yang terpercaya dan stabil.

Memperluas penyebaran maklumat kenegaraan untuk meningkatkan jati diri dan semangat patriotik rakyat; memperkasa perkhidmatan penyiaran yang berkualiti dan terkini; serta memangkin industri kandungan kreatif yang berdaya saing dan bertaraf global.

Gobind berkata kementerian pada tahun ini (2019) akan terus meningkatkan usaha untuk merealisasikan hasrat menggandakan kelajuan internet dan mengurangkan harga pakej.

“Pelbagai aspek mengenai internet akan diteliti termasuk masalah yang dihadapi oleh syarikat telekomunikasi,” katanya.

Gobind berkata KKMM juga akan mengkaji semula beberapa akta di bawah kementerian seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Selain itu, kementerian menerusi Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah memulakan inisiatif untuk menyediakan Draf Amalan Terbaik Perlindungan Data Peribadi Sektor Awam,” katanya.

Gobind dalam amanatnya itu berkata kementerian mendokong hasrat kerajaan bagi menjamin kebebasan media dalam melaporkan berita dan membuat kritikan kepada kerajaan.

“Laporan berita yang tepat tanpa berat sebelah adalah penting bagi mencorak pemikiran masyarakat yang lebih matang. Ruang perdebatan di kaca televisyen bagi isu-isu yang timbul juga dibuka supaya masyarakat mendapat maklumat dan memahami sesuatu isu dengan lebih jelas dan tepat,” katanya.

Gobind berkata pada tahun ini, KKMM menubuhkan tiga kumpulan fokus utama (thematic group) iaitu Ekonomi Digital, Penyiaran dan Penerangan serta Industri Kreatif.

Katanya, penubuhan ketiga-tiga kumpulan itu adalah sebagai platform kerjasama bagi membincangkan dengan lebih lanjut tiga agenda utama kementerian yang merangkumi penglibatan kementerian, agensinya dan agensi luar.

“Thematic group ini bukan sahaja memberi fokus kepada program malah kepada impak pelaksanaan program kepada rakyat serta usaha menguar-uarkan inisiatif itu kepada rakyat dan manfaat yang bakal dinikmati hasil pelaksanaan insiaitf kerajaan,” katanya.

Gobind berkata kementerian juga mengambil pendekatan secara inklusif dan holistik bagi memperbaharui industri seni tanah air termasuk pindaan kepada akta berkaitan, penstrukturan semula Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan badan lain yang berkenaan serta membantu menerbit filem tempatan bersaing dan berjaya.

“Peranan dan kebolehan industri seni untuk membawa keunikan serta keistimewaan negara ke tahap antarabangsa perlu dilihat secara serius.

“Bagi tahun ini, kementerian menyasarkan sejumlah RM8.2 bilion hasil kandungan kreatif tertumpu kepada animasi dan permainan video serta syarikat-syarikat berstatus MSC Malaysia yang dieksport,” katanya.

Gobind berkata KKMM melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menjalankan dan mengembangkan ekosistem eSports di Malaysia agar dapat berdaya saing setanding negara lain yang menganjurkan liga bertaraf global.

“Ini akan menyemarakkan pembangunan permainan digital di Malaysia di samping memperluas kesedaran mengenai industri ini,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda