Skip to main content
Berita TempatanHomePulau Pinang

Pelajar Melayu Mahir Seni Tari Tarian Singa

By 4 Februari 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman/ Ariza Mohamed Zaki (Seberang Perai Utara)

KEPALA BATAS, 4  Feb (Malaysiaaktif) – Tarian Singa adalah tarian tradisi dalam kebudayaan Cina dan ianya sinonim dengan sambutan Tahun Baru Cina, pembukaan perniagaan baru, majlis perkahwinan dan  majlis-majlis istimewa. Tarian Singa ini biasanya dimainkan oleh dua orang penari dengan meniru gaya pergerakan singa dengan memakai kostum yang menarik sebagai membawa tuah berpanjangan menurut kepercayaan kaum Cina. Tarian ini biasanya diiringi oleh ketukkan drum, gong, dan dentuman mercun. 

Tarian Singa ataupun dikenali tarian Singa Kantonis dipercayai berasal dari Guangdong, China. Kostum yang digunakan mempunyai tanduk tunggal, seolah-olah menyerupai makhluk mitos kebudayaan Cina bernama Nian. Kepala singa biasanya, secara tradisi diperbuat menggunakan kertas-kertas yang dihancurkan dan dibentuk untuk menutupi rangka buluh yang membentuk kepala singa. Kemudian ianya akan dicatkan dan dihiaskan menggunakan bulu. Badan singa pula diperbuat dengan kain tahan lasak yang dihiasi bulu.

Firdaus Abd Rashid, 21 tahun, Penuntut Giat MARA

Firdaus Abd Rashid, 21 tahun, Penuntut Giat MARA

Keunikan tarian singa ini yang mendorong seorang anak muda Melayu, Firdaus Abd Rashid, 21 tahun penuntut Giat MARA ini untuk menyertai Persatuan Sukan dan Kebudayaan Tionghoa Kepala Batas. Menurutnya,  keinginan untuk mempelajari sesuatu yang baru serta minta yang mendalam terhadap kesenian tradisi tarian singa telah mendorong beliau untuk menyertai Persatuan tersebut dan mempelajari selok belok seni tarian singa. 

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, pada peringkat awal pembabitannya  beliau berasa bimbang berdepan kesukaran untuk menguasai setiap rentak dan langkah dalam seni tarian berkenaan, lama-kelamaan perasaan itu hilang dengan sendiri nya setelah hampir setahun setengah beliau terlibat dengan tarian singa. 

Menurut beliau lagi sifat berani perlu ada kerana pergerakan tarian singa ini memerlukan kemahiran tinggi dari segi pergerakan tangan dan kaki terutama bagi aksi melompat seperti di atas kerusi, pasu dan tiang. Untuk mahir dalam tarian itu memerlukan banyak latihan fizikal dan mental biasanya beliau akan mengikut latihan 2 jam sehari pada hari Selasa hingga Jumaat di sebelah malam. 

Danial Izfan Mohd Izuan, 12 tahun dengan pakaian Tarian Singa

Danial Izfan Mohd Izuan, 12 tahun dengan pakaian Tarian Singa

Sementara itu seorang lagi penari tarian singa,  Danial Izfan Bin Mohd Izuan, 12 tahun pelajar SJK (C) Peu Yu, Kepala Batas berkata “Saya baru menyertai persatuan ini dua bulan lalu, namun saya dapat menyesuaikan diri dengan kumpulan tarian ini dan tidak mempunyai sebarang masalah komunikasi kerana mampu bertutur dalam bahasa Mandarin sejak kecil”. 

“Sejak prasekolah, saya menuntut di sekolah aliran Cina, justeru tidak timbul masalah untuk memahami bahasa Mandarin sekali gus membantu saya menguasai rentak tarian ini”, katanya lagi. 

“Galakan daripada keluarga serta minat yang mendalam mendorong  saya untuk mempelajari kebudayaan tarian singa ini. Tambahan pula kini tarian singa diterima sebagai salah satu kegiatan sukan di beberapa sekolah di Malaysia”. 

Tambah beliau lagi, pergerakan tarian singa yang mencabar menarik minat beliau untuk mencuba sesuatu yang baru dan seterusnya mencabar dirinya untuk mempelajari tarian berkenaan. Cabaran yang dilalui dalam latihan dan pergerakan tarian yang sukar melatih dirinya untuk menjadi seorang yang lebih kreatif dan berdisiplin. Tambahan pula beliau terpaksa pandai membahagikan masa untuk belajar dan berlatih kerana pada tahun ini beliau akan menduduki peperiksaan PPSR (dahulu dikenali sebagai UPSR).

 

Tinggalkan komen anda