Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaSabah

[VIDEO] Sogit Seekor Kerbau Jika Mencemari Taman Tinopikon

By 19 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan / foto oleh Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

PENAMPANG, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Sogit merupakan bentuk denda dengan pemberian seekor binatang, biasanya kerbau atau wang tunai sebanyak RM1500 hingga RM2000 jika melanggar pantang larang Tagal Taman Tinopikon, Kampung Notoruss di sini. Sogit termaktub dalam Undang-Undang Adat Anak Negeri Sabah 1995.

Menurut Pegawai Perikanan Sabah, Tony Ayung Daniel, tindakan tegas ini antara punca kejayaan tagal Taman Tinopikon sehingga hari ini.

 

Sehubungan itu, tagal Tinopikon menetapkan larangan ke atas sebarang aktiviti yang boleh mencemari atau mengancam ekosistem sungai serta kehidupan di Sungai Moyoq, seperti melepaskan minyak, racun serta larangan menangkap ikan tanpa kebenaran ketua kampung atau ketua masyarakat.

Jika didapati bersalah, pelaku boleh dikenakan denda atau sogit dengan membayar sejumlah wang atau memberikan seekor binatang kepada penduduk kampung.

Walau bagaimanapun menurut Tony, setakat ini belum ada sesiapa pernah didenda kerana melanggar adat tagal ini kerana pengunjung dan penduduk kampung sendiri amat berhati-hati.

Tony berkata, definisi mudah tagal ialah larangan menangkap ikan. Ia diamalkan sejak berzaman dengan tujuan memulihara dan memastikan kesinambungan warisan alam untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

Kini tagal menjadi sumber pendapatan melalui industri pelancongan yang membawa pulangan kepada penduduk, sama ada daripada hasil jualan buah-buahan, makanan mahu pun kraftangan.

Melalui amalan tagal, ikan di sungai tidak berasa terancam dan mudah mendampingi manusia. Kemesraan ini dipanggil ‘Urutan Ikan’.

“Pelan masa hadapan, tagal ini sebagai perintis dan contoh untuk mewujudkan tagal-tagal lain sepanjang sungai. Selain itu, Jabatan Perikanan Malaysia akan menambahbaik kemudahan kepada pelancong, antaranya menyediakan penginapan, makan minum, tandas, pondok-pondok untuk berkelah,” ujarnya lagi.

Seorang pengunjung dari Putrajaya, Sharmila Asyira Fatin Zaini, 21, berpendapat tagal ini merupakan sebuah lokasi geospatial (analisis berasaskan statistik) yang unik.

Penduduk kampung, Sokinim Guit, 59, pula berpendapat kejayaan tagal ini banyak bergantung kepada bantuan dan pemeliharaan oleh Jabatan Perikanan.

20161016_172933

 

Sokinin berkata, “ikan pelian atau kelah sememangnya ikan asal di sungai ini. Oleh kerana sering diberi makan oleh penduduk di sini, ikan-ikan ini sudah terbiasa datang kepada manusia bila ada yang turun ke sungai. Jika tidak diberi makan, ikan-ikan ini akan menghisap bahagian tubuh badan orang yang masuk ke sungai ini.”

Menurutnya lagi, inisiatif tagal ini dilakukan secara bergotong royong membersihkan sungai, membina pondok dan membuat jadual kawalan sungai. Semua usaha ini dibantu sepenuhnya oleh Jabatan Perikanan Sabah sama ada melalui peruntukan dana, peralatan dan khidmat nasihat.

Seorang lagi penduduk kampung yang terlibat, Lina Sambuling, 42, berkata tagal ini ditubuhkan pada 2009.

“Penduduk kampung memulakan usaha dengan menjinakkan ikan-ikan di sini. Mereka kemudian bersatu hati membina pondok-pondok pengunjung dengan bantuan Jabatan Perikanan.

“Walaupun tidak disediakan tempat menginap, tetapi pengunjung dibenarkan berkhemah dan bermalam di kawasan ini dengan bayaran RM10 seorang,” ujar Lina lagi.

Penguasa Perikanan Daerah Penampang, Tony@Herman Anus pula berkata, asal tagal di zaman dahulu ialah bagi memastikan agar sumber ikan sebagai makanan sentiasa mencukupi, tetapi kini ia menjadi sumber pendapatan melalui eko-pelancongan.

Bagi 2015 sejumlah 20 ribu orang pengunjung dari serata dunia telah datang ke sini. Mereka dikenakan bayaran RM5 seorang dan RM2 sepeket untuk makanan ikan.

Selain pengalaman bermesra dengan ikan, turut disediakan oleh penduduk di sini pakej-pakej lain, termasuk berjalan di denai hutan, lawatan ke air terjun, permainan muzik tradisional dan sebagainya.

 

-SH/AAS

 

Tinggalkan komen anda