Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Rumah Panjang Kg Pueh 142 Tahun Masih Utuh

By 16 Februari 2017Februari 19th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan / foto oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

SEMATAN, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Menyelusuri daerah Lundu melalui Sematan yang jaraknya kira-kira 120 km dari Kuching tersergam indah Rumah Panjang Kampung Pueh yang berusia 142 tahun.

Rumah yang didiami lebih 20 keluarga yang  terdiri daripada 95% bangsa Bidayuh Salako ini semakin dikenali selepas Program Homestay Kampung Pueh dirasmikan pada 18 April 2003 oleh Ketua Menteri Sarawak yang ketika itu ialah Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.

Tugu Peringatan yang dibina pada 1975

Tugu Peringatan yang dibina pada 1975.

Menurut salah seorang penduduk yang telah menetap selama 62 tahun di Rumah Panjang tersebut Betty Benson, 62, keunikan kawasan tersebut dirasai terutama ketika adanya musim perayaan yang disambut oleh masyarakat tempatan.

Koleksi Baju Tradisional Masyarakat Salako

Koleksi Baju Tradisional Masyarakat Salako.

“Perayaan Krismas dan Gawai diadakan secara besar-besaran di sini. Kawasan luar Rumah Panjang inilah yang merupakan kawasan berkumpul lebih 500 jiran tetangga kami.

“Semua upacara keagamaan seperti Miring (sembahyang adat lama) dilakukan di tempat orang menjemur baju. Kemudian mereka masuk ke dalam untuk menari tarian tradisional seperti Wek Jonggan, Tari Totong, dan Tari Kerbau.

“Semua akan berkumpul dengan pakaian tradisional Kaum Salako bermula pada 8.00 malam sehingga awal pagi. Kaum ibu pula sibuk menyediakan kuih tradisional seperti penyaram, tumpi, dan bontong,” ujarnya lagi.

Sementara itu, sejak Program Homestay dijalankan di Kampung Pueh, Betty menjelaskan semakin ramai pelancong yang datang menginap dan kemajuan juga dapat dilihat dari pelbagai sudut.

“Kalau dahulu jalan raya tiada, kami guna jalan air Pantai Sematan. Air dulu pun ambil daripada sungai. Api dulu pakai pelita. Sejak Program Homestay wujud, semua kelengkapan semakin baik.

WhatsApp Image 2017-02-16 at 10.44.31 PM

Pauzan Uncong ketika ditemu bual Malaysiaaktiff

“Program anak angkat, homestay, projek universiti dan sekolah ada dibuat selama dua hingga tiga malam di sini. Lelaki tidur di luar manakala yang perempuan tidur di dalam. Kami anggap mereka ini seperti keluarga,” ujarnya yang merupakan pesara kerajaan.

Dalam pada itu, bagi seorang lagi penduduk yang telah 44 tahun mendiami Rumah Panjang tersebut, Pauzan Uncong, sumber ekonomi penduduk juga semakin meluas dengan pembangunan yang dibuat di kawasan tersebut.

“Ada yang jadi petani yang tanam padi, lada, kelapa sawit, koko, malah ada yang jadi nelayan. Ketika masa lapang ada juga yang membuat kraf tangan seperti bubu dan tampi padi.

“Sejak 1973, saya lihat banyak bantuan yang telah diberikan. Rumah ini misalnya telah banyak dibaik pulih. Cukai rumah, tidak lagi perlu dibayar. Elektrik pun kalau belum sampai RM20 tak perlu dibayar.

WhatsApp Image 2017-02-16 at 10.43.46 PM

“Water Purification System”, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ada disediakan di Kg. Pueh

“Kami juga beruntung kerana biasanya air gunung, apabila musim hujan oleh sebab graviti menyebabkan salurannya tersekat. Jadi kami memang kena tunggu. Sumber air ada diberikan dalam Tangki Bekalan Air “Water Purification System”, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah disediakan di setiap kawasan,” ujarnya lagi.

Keunikan Rumah Panjang itu turut dirasai dengan adanya pelbagai barangan unik tinggalan nenek moyang yang pernah mendiami rumah tersebut.

Bagi Hardy Minsel, 29, banyak barangan yang ada masih dijaga dengan baik oleh masyarakat tempatan oleh sebab ingin mengekalkan tradisi yang ada.

Bekas menyimpan padi di Rumah Panjang Kg. Pueh

Bekas menyimpan padi di Rumah Panjang Kg. Pueh.

“Yang kayu ditanam di luar ini kita panggil sebagai Pancar. Ibarat tanda kepada orang kuat sini yang telah meninggal dunia. Kubur mereka pula diletakkan di tepi pantai.

“Selain itu, bekas padi yang ada di setiap unit rumah panjang ini juga tidak boleh diusik sewenang-wenangnya kerana mengikut kepercayaan beras ini dijaga oleh suku kaum kami yang terdahulu.

“Rumah padi di luar itu pula didirikan oleh sebab kepercayaan orang lama jika diletakkan padi di situ lebih selamat. Jika diletakkan di dalam rumah, jika insiden seperti kebakaran berlaku sekurang-kurangnya rumah padi akan menyelamatkan stok padi yang disimpan di situ.

Rumah padi yang menyelamatkan padi daripada hangus

Rumah padi yang menyelamatkan padi daripada hangus.

“Upacara Batiruk iaitu upacara penyembuhan juga diadakan di bawah papan tanda masuk ke dalam Kampun ini oleh dukun tempatan untuk menyembuhkan penyakit,” ujarnya lagi.

Selain sejarah, banyak kawasan indah di sekitar Rumah Panjang ini menjadi kunjungan ramai seperti Air Terjun Sembat dan Palm Beach Resort yang menjadi tempat tumpuan pelancong ketika cuti sekolah dan hujung minggu.

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda