Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Jambatan Sementara Ganti Jambatan Runtuh

By 3 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto oleh : W Shahilawati W Baharuddin / Khairunnisa Ismail (Kota Bharu)/ Foto Dari Drone: JKR Machang

KETEREH, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Penduduk dari kampung Banggol Lepah dan Padang Lembek Ketereh kini menarik nafas lega apabila jambatan sementara siap dibina dan boleh dilalui susulan kejadian jambatan runtuh 4 Febuari lalu selepas sebuah treler yang membawa muatan kayu melaluinya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Wan Zin Wan Abdullah, 66, ketiadaan jambatan sememangnya menguji kesabaran penduduk kerana terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh.

Jambatan runtuh pada 4 Februari lalu akibat treler muatan kayu melaluinya

Jambatan runtuh pada 4 Februari lalu akibat treler muatan kayu melaluinya

“Selama dua minggu penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif untuk kegiatan harian dan menghantar anak ke sekolah sejauh tujuh kilometer berbanding menggunakan jambatan yang hanya sejauh empat kilometer sahaja.

“Walau bagaimanapun, kami bersyukur dan menghargai keprihatinan semua pihak sehingga jambatan sementara ini dibina dalam tempoh singkat, tetapi tetap berharap agar jambatan kekal dapat dibina segera,” katanya kepada Malaysiaaktif.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Machang, Ali Mohamad Yusof berkata, Jambatan Bailey jenis Acrow 700XS dipasang sementara ketika kecemasan bagi tempoh satu hingga satu tahun setengah  untuk JKR negeri membina semula jambatan baharu sehingga mendapat peruntukkan.

“Tiada kos untuk pembinaan jambatan Bailey tersebut kerana ianya dipinjamkan daripada Ibupejabat kepada JKR Negeri sehingga jambatan baharu dibina dan ia hanya melibatkan kos tapak sebanyak RM 40,000,” ujarnya lagi.

Menurutnya seramai 47 pegawai dan kakitangan JKR dari Machang, Kota Bharu, Temerloh dan Kuantan bertanggungjawab menyiapkan jambatan tersebut yang bermula pemasangan komponen pada 16 Febuari dan siap pada 19 Febuari lalu.

“Jangkaan awal masa yang dirancang untuk menyiapkan jambatan tersebut sebenarnya dalam masa dua minggu tetapi kami menggiatkan kerja 24 jam tanpa henti dan pada hari ke empat  penduduk sudah boleh melalui jambatan tersebut,” jelasnya.

Ali berkata, jambatan berkenaan  mampu menampung berat sehingga 100 tan bebanan dan lebar jambatan adalah 12 meter serta panjang 100 kaki jika dibandingkan jambatan sebelum ini dengan berat maksimun 20 tan, lebar lima meter dan panjang 70 kaki.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda