Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Kerajaan Negeri Ambil Alih Empangan Hidro Bakun

By 8 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Nur Faezah Salam / Foto: Parno Salamat

KUCHING, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri telah berjaya mencapai persetujuan untuk memiliki keseluruhan pegangan ekuiti Sarawak Hidro Sdn. Bhd. daripada Menteri Kewangan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk membolehkan Kerajaan Negeri melalui Sarawak Energy Berhad memiliki sepenuhnya tenaga elektrik daripada Empangan Hidro Bakun.

Ketua Menteri, Datuk Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media yang diadakan di pejabat beliau, tengah hari tadi.

“Perjanjian telah termeterai bahawa pemilikan dan operasi Empangan Hidro Bakun yang merupakan Empangan Janakuasa Elektrik yang terbesar di negara ini, akan sepenuhnya dikembalikan kepada kerajaan negeri melalui pengambilalihan saham dalam Sarawak Hidro Sdn Bhd,” jelas Abang Jo.

Berita gembira dari Putrajaya diketahui ketika sidang media oleh Abang Jo

Berita gembira dari Putrajaya diketahui ketika sidang media oleh Abang Jo

Sarawak Hidro Sdn. Bhd. ialah milik Kerajaan Pusat melalui Menteri Kewangan Malaysia dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan ditubuhkan untuk membangunkan dan menguruskan Stesen Janakuasa Hidroelektrik Bakun.

Menurut Abang Jo lagi, Empangan Hidro Bakun membekalkan sebanyak 2,400 mega watt elektrik dan telah beroperasi sepenuhnya pada 2014.

“Ini merupakan pemberian terbesar Putrajaya dan saya berterima kasih kepada Perdana Menteri.”

“Pengambilalihan Empangan Hidro Bakun merupakan sebahagian daripada keseluruhan rancangan strategik untuk membangunkan dan menyatukan negeri dengan memiliki sumber tenaga yang banyak dan kita boleh mengawal tenaga yang ada untuk kepentingan masyarakat dan keadaan sektor ekonomi negeri ini untuk jangka masa yang panjang,” ujar Abang Jo lagi.

Melalui projek ini, Sarawak Energy juga menambah baik kapasiti Sarawak untuk mengekalkan keselamatan kuasa dan kebolehpercayaan dan kecekapan dalam operasi melalui integrasi yang lebih baik daripada Empangan Hidro Bakun dan Empangan Hidro Murum.

SF

Tinggalkan komen anda