Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pantai Tanjung Pisau Mampu Jana Ekonomi Penduduk

By 9 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: R.Fauzi Abdul Lahap / Foto: Alen Lim & Mastim Kiriman (Sabah)

SANDAKAN, 9 Mac (Malaysiaktif) – Keindahan pantai yang memutih, dihiasi pepohon kelapa merimbun, lambaian gemersik bunyian unggas dan  cengkerik tentunya akan menggamit percutian indah pengunjung ke Pantai Tanjung Pisau.

Terletak hampir 30 kilometer dari pusat bandar, Pantai Tanjung Pisau pastinya menjanjikan kepuasan pada penggemar keindahan dan ketenangan mendengar bunyian alam semula jadi pantainya.

Menurut Ketua Kampung Tanjung Pisau Lalason, Moin Yaakob, berkata kampung ini memiliki keindahan semula jadi yang masih belum diterokasi sepenuhnya terutama dalam aspek pembangunan pelancongan.

“Program santai minda bersama pemimpin, memberi peluang kepada kami memperkenalkan kelebihan yang terdapat di kampung ini. Pelaksanaan program julung kali seperti ini mampu mempromosikan kawasan ini untuk dimajukan kepada salah satu lokasi pelancongan di daerah ini.

Juslie (dua dari kanan) ketika menyempurnakan gimik pertandingan memancing.

Juslie (dua dari kanan) ketika menyempurnakan gimik pertandingan memancing.

Jelasnya, seluruh penduduk amat menyokong sebarang aktiviti di kampung tersebut kerana melalui penganjuran sesuatu aktiviti di sini dapat memberi sumber pendapatan sampingan kepada para penduduk.

“Kami berharap agar acara ini dapat diteruskan di sini kerana aktiviti sebegini  menjadikan kampung ini akan lebih dikenali seterusnya menjana pendapatan penduduk selain dapat mengukuhkan kekeluargaan masyarakat melalui kerjasama bukan sahaja antara penduduk malah dengan agensi yang terbabit.

Demikian Moin Yaakob semasa ditemui selepas pelaksanaan program Santai Minda bersama pemimpin anjuran bersama Tanjung Pisau Beach Resort, Sekolah Kebangsaan Tanjung Pisau dan Komuniti 1Malaysia Taman Indah Jaya.

Pengusaha satu-satunya resort di kampung tersebut, Daning Bajau berkata ‘Tanjung Pisau Beach Resort’ merupakan satu-satunya resort yang ada di kampung ini ketika ini sejak empat tahun lalu.

“Ketika ini resort ini menyediakan chalet semurah RM150 semalam dilengkapi kemudahan seperti penginapan lain.

“Lokasi Tanjung Pisau yang jauh dari pusat bandar suatu ketika dahulu dilihat berpotensi menjadi suatu lokasi baharu untuk dibangunkan sebelum kembali dingin atas faktor keselamatan dan kini kami amat berharap kepelbagaian penganjuran program seperti ini akan dapat mempromosikan lagi kawasan ini untuk kembali menjadi perhatian pengunjung ke sini.

Jelasnya, tempahan dan permintaan pengunjung tetap ada terutama semasa musim cuti sekolah dan ini menyebabkan saya terpaksa membuat penambahan kemudahan untuk terus menarik pengunjung hadir ke kampung ini.

“Sesungguhnya saya amat berharap agar lokasi ini mendapat perhatian kerajaan untuk dibangunkan kerana bukan sekadar membolehkan orang ramai menikmati keindahan di sini tetapi turut dapat memberi pendapatan sampingan kepada penduduk yang keseluruhannya ialah nelayan.

“Kawasan ini berpotensi tinggi sebagai pusat pelancongan dengan keunikan kedudukan kawasan jauh dari keriuhan bandar, tenang dan sesuai percutian santai bersama keluarga,” ujarnya.

Pertandingan tarik tali

Pertandingan tarik tali

Sementara itu,  Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol berkata, lokasi strategik pelancongan ini pasti terus diperjuangkan pembangunannya apabila melihat dan merasai sendiri keindahan dan ketenangan pantai ini.

“Saya juga amat memuji atas tindakan inisiatif pemilik resort di kampung ini yang berusaha menjadikan kawasan ini sebagai salah satu pusat pelancongan dengan membina Tanjung Pisau Beach Resort hingga kawasan ini semakin dikenali.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong dan membantu usaha murni penduduk khususnya yang bergiat dalam sektor pelancongan kerana secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk selain membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak kampung.

Tambahnya, sektor pelancongan memberi pulangan yang cukup lumayan bukan sahaja kepada pengusaha sendiri malah kepada masyarakat sekitar dan turut menjana ekonomi negara.

“Jumlah pelancong yang dicatat melawat negara kita mencecah 1.3 juta orang tahun lepas dan berjaya menghasilkan pendapatan sebanyak RM2.3 bilion kepada negara.

“Oleh itu, saya akan berhubung dengan agensi terbabit bagi mendapatkan peruntukan khusus untuk menaik taraf  infrastruktur asas seperti jalanraya, bekalan air paip dan kemudahan lain agar pembangunan sektor pelancongan terus berkembang disini,” katanya semasa merasmikan program Santai Minda di kampung terbabit pada Ahad.

Program anjuran Jabatan Penerangan Sandakan itu berjaya menarik hampir 500 pengunjung.

-SF

Tinggalkan komen anda