Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

TN50 Buka Peluang Belia Atur Aspirasi Bermanfaat

By 14 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Aishah Latip / Foto: Chua Choon Sim (Sarawak)

KUCHING, 14 Mac (Malaysiaktif) – “Anak-anak muda pada masa ini perlu mengatur strategi dengan bijak supaya segala aspirasi dapat memberi manfaat yang lebih besar kepada Sarawak secara khususnya.”

Demikian kata Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Abang Openg semasa menghadiri Siri Jelajah Dialog Transformasi Nasional (TN50) Peringkat Sarawak di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Samarahan pada Sabtu

Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan aspirasi nasional yang disokong oleh kerajaan negeri Sarawak.

Tambahnya, aspirasi bagi belia pada hari ini amatlah penting bagi meneruskan kepimpinan yang sedia ada pada masa depan agar dapat melonjakkan Sarawak setanding atau lebih baik dari Semenanjung Malaysia.

TN50 yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.
TN50 mula diperkenalkan pada Januari lalu dan sesi jelajah TN50 telah bermula di Sabah, dan Sarawak merupakan destinasi yang kelima bagi siri jelajah ini.

Fazzruddin ketika ditemu bual oleh Malaysiaktif.

Fazzruddin ketika ditemu bual oleh Malaysiaktif.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri N6 Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman berpendapat bahawa Siri Jelajah- Dialog Transformasi amat baik diadakan kerana menunjukkan perspektif kerajaan dalam mengambil faktor kemahuan dan keperluan masyarakat dahulu berhubung harapan dan aspirasi terutamanya bagi golongan belia menjelang 2050.

“Program jelajah ini harus diperluas lagi di seluruh bahagian dan daerah di Sarawak agar dapat menyelami harapan dan aspirasi golongan belia kerana aspirasi ini amat berbeza bagi golongan belia yang tinggal di bandar, pinggir bandar dan luar bandar,” ujarnya.

Mohd Fikri Ali melontarkan pendapat semasa dialog TN50.

Mohd Fikri Ali melontarkan pendapat semasa dialog TN50.

Dalam pada itu, Pengerusi Cawangan Saberkas Bekenu dan mantan Parlimen Belia Malaysia, Mohd Fikri Haji Ali, 25 tahun berasal dari Bekenu, Miri berpendapat bahawa pada 2050 kita akan bakal melihat perubahan dari aspek pusat pentadbiran negara dan pusat ekonomi.

“Perubahan 30 tahun yang akan datang ini bakal tertumpu di Sarawak. Hal ini kerana kepadatan penduduk di Kuala Lumpur yang semakin pesat setiap hari tidak lagi dapat menampung kependudukan yang pesat pada masa akan datang misalnya kekurangan sumber air.

“Berbanding di Sarawak yang mempunyai tanah yang luas malah bekalan sumber air yang mencukupi sehingga mampu mempunyai sistem tiga projek mega empangan jana kuasa elektrik yang mampu menampung kepenggunaannya dalam masa 30 tahun lagi,” jelasnya.

Seramai 1,500 orang terdiri daripada pelajar hadir pada majlis tersebut dan kira-kira 20 orang tampil memberi pandangan dan aspirasi menjelang TN50.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

SF

Tinggalkan komen anda