Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

PM Umum Peruntukan RM4 juta Bina SJKT Ladang Tennamaram

By 19 Mei 2017Mei 20th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Sharman Subramaniam (Kuala Selangor)

BESTARI JAYA, 19 Mei (Malaysiaaktif) – “Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah bersetuju untuk membina Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil  di Ladang Tennamaram ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM4 juta dan juga sebuah dewan.”

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata demikian dalam Majlis Sambutan 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara, di Ladang Tennamaram, di sini, semalam.

“Timbalan Menteri Pendidikan memberi jaminan pada saya bahawa peruntukan ini akan disalurkan kepada Lembaga Pengarah Pendidikan dalam masa terdekat untuk membolehkan pemindahan sekolah ini dari Ladang Kampung Baru, ‘relocation’ dapat dilakukan,” tambah beliau lagi.

Rajasegaran Selamban, 68

Pengerusi Taman Tennamaram, Rajasegaran Selamban, 68.

Dalam pada itu, Pengerusi Taman Tennamaram, Rajasegaran Selamban, 68, berkata dia berasa sangat gembira dengan pengumuman Perdana Menteri tentang pembinaan SJK Tamil di Ladang Tennamaram kerana akhirnya menjadi kenyataan melalui pengumuman hari ini setelah diperbincangkan sejak sekian lama.

Manakala, menurut salah seorang penduduk Ladang Tennamaram, Elangovan Govindasamy, 50, pengumuman tersebut sangat bermakna baginya kerana ianya penting bagi masa depan rakyat khususnya penduduk di sini.

Elangovan Govindasamy, 50

Penduduk Ladang Tennamaram, Elangovan Govindasamy, 50.

“Saya berharap agar kerajaan dapat membantu penduduk di sana (Ladang Tennamaram) dalam pemilikan rumah sendiri kerana rata-ratanya mendiami rumah kuarters Sime Darby.

Dalam majlis sama, Najib juga mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM510 juta untuk Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil dan Tanam Baharu Sawit Pekebun Kecil bagi penghargaan sumbangan industri sawit dalam negara.

Turut hadir, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta Pengerusi Sime Darby, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Datuk Seri Najib Lawat Pameran

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak diiringi Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar di Majlis Sambutan Ulang Tahun 100 Tahun Kegemilangan Sawit Negara di Ladang Tennamaram.

Selain itu, Najib juga mengumumkan Skim Pensijilan Mampan Malaysia (MSPO) yang akan dilaksanakan secara mandatori mulai 31 Disember 2019 sebagai langkah proaktif dalam menjaga kepentingan industri sawit dan eksport ke negara maju.

“Beberapa NGO (badan bukan kerajaan) mengaitkan kononnya pembangunan tanaman industri sawit tidak mampan dan mencemarkan alam sekitar, dan sebagainya.

“MSPO yang dibangunkan sejak 2015 ini selaras dengan undang-undang dan peraturan semasa negara dan pengurusan penanaman kelapa sawit melalui amalan pertanian terbaik.

“Pada masa yang sama, ia juga bagi membuktikan kepada pihak luar, khususnya Kesatuan Eropah (EU), bahawa dakwaan mereka terhadap industri sawit negara adalah salah dan tidak berasas,” tegas Najib.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda