Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Lima Kali Akhirnya Berbaloi Buat SMK La Salle Brickfields

By 14 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Norhazlinawati Mat & Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle Brickfields muncul johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) & Putrajaya, di sini semalam.

Sketsa bertajuk Merdekakan Minda Kita yang dipersembahkan oleh lima pelajar SMK La Salle Brickfields telah menewaskan sembilan kumpulan lain dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan, plak dan sijil penyertaan.

Menurut guru penyelaras Kelab 1Malaysia, Siti Salwani Mohamed, penyertaan kali ini membawa tuah kepada pelajar-pelajarnya setelah lima tahun memasuki pertandingan ini.

“Akhirnya berkat kesabaran dan tidak putus asa, tahun ini kami bergelar juara. Sebelum ini kami hanya mendapat tempat ketiga dan naib johan,” katanya.

Johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, SMK La Salle Brickfields

Johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, SMK La Salle Brickfields

Salah seorang peserta SMK La Salle Brickfields, Muhammad Ridwan Ramli berkata mereka mengambil masa selama dua minggu untuk berlatih dan membuat segala persediaan bagi menghadapi pertandingan ini.

“Tunjuk ajar guru dalam sesi latihan amat berbaloi apabila diumumkan sebagai johan pada hari ini,” kata Ridwan.

Salah seorang ahli kumpulan SMK La Salle Brickfields, Muhammad Ridwan Ramli

Salah seorang ahli kumpulan SMK La Salle Brickfields, Muhammad Ridwan Ramli

Sementara itu, naib johan pertandingan disandang oleh SMK Padang Tembak manakala tempat ketiga dimenangi oleh pasukan SMK Bandar Baru Sentul, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500 dan RM1,000 berserta plak dan sijil penyertaan.

Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan WPKL yang berkonsepkan seni lakonan dan penceritaan ini bertujuan untuk mendidik masyarakat dalam menghayati prinsip Rukun Negara khususnya pelajar-pelajar sekolah.

Selain memberi pemahaman konsep Rukun Negara, pelaksanaan program ini juga adalah bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Penerangan WPKL, Mohd Taib Ubah.

Turut hadir, Pengetua SMK Agama Kuala Lumpur, Kamarul Ariffin Mohd Sharif dan Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan WPKL, Noradzmi Baba.

– AH

Tinggalkan komen anda