Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Jiwa Kental Chelsea Usaha Perniagaan Cendawan pada Usia Muda

By 24 April 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)

TUARAN, 24 Apr (Malaysiaaktif) – Usahawan muda, Chelsea Drew Balanting, 24, tidak menyangka hobinya menanam cendawan enam tahun lalu kini berkembang menjadi sebuah perniagaan yang mampu menghasilkan pendapatan lumayan.

Berpegang pada prinsip jangan rasa takut untuk mulai apa pun, wanita tersebut percaya sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan asalkan berani untuk melangkah dan mendapani cabaran dengan pelan yang strategik.

Jaffrin Singkod, individu yang banyak membantu dan menyokong penglibatan Chelsea dalam bidang perusahaan cendawan.

Alumni pelajar Kolej Institut pelancongan Asia (ATI) Kota Kinabalu itu, berkata beliau mula menanam cendawan ketika masih belajar di kolej berkenaan pada tahun 2018 dengan 10 ribu bongkah cendawan sebagai permulaan.

“Antara cendawan yang ditanam adalah cendawan tiram putih dan kelabu dan cendawan sisir atau lebih dikenali sebagai ‘kodop’ dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Kini saya juga fokus kepada penghasilan bongkah cendawan serta memproses cendawan sebagai produk makanan,” katanya ketika di temui di kilang miliknya di Kampung Rongolis, Topokon, Tamparuli di sini pada Isnin.

Tiada jalan pintas untuk mencapai sebuah kejayaan, di awal perniagaannya Chelsea, berkata beliau pernah berjalan kaki dari Kolej ATI ke Suria Sabah dengan jarak hampir 4 kilometer semata-mata untuk menghantar tempahan cendawan kepada pelanggan.

“Ketika itu membekalkan sebanyak 30 kilogram cendawan segar ke sebuah restoran vegetarian pada setiap hari Isnin dan Jumaat.

“Dan sekali sekala saya akan menaiki bas sekiranya masa suntuk untuk membuat penghantaran kerana biasanya ketika itu penghantaran saya lakukan sejurus habis kelas,” ujarnya.

Jaffrin Singkod, individu yang banyak membantu dan menyokong penglibatan Chelsea dalam bidang perusahaan cendawan.

Dalam pada itu, selain dana sendiri beliau turut menerima bantuan dan geran daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) bagi tujuan pengembangan perusahaan cendawannya.

“Dengan geran itu, saya dapat membina kilang dan membeli tiga buah mesin khas pemprosesan bongkah cendawan seterusnya menjadikan pemprosesan menjadi lebih mudah berbanding dulu di mana semuanya secara manual.

“Kepada para belia saya ingin menasihatkan untuk tidak takut mencuba sesuatu bidang yang diminati dan melakukan setiap perancangan dengan dengan bersungguh-sungguh pasti akan mendapat kejayaan,” jelasnya.

Untuk makluman selain cendawan segar, Chelsea turut menghasilkan beberapa produk hiliran berasaskan cendawan antaranya kerepek cendawan balado, kerepek cendawan keju, sambal kodop ikan masin, dan bosou (jeruk) cendawan.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda