Laporan/foto: Muhammad Arief/Hafizah Rahim (Marang)
MARANG, 24 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 69 orang pelatih Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Mukim Bukit Payung diraikan dalam satu program Sambutan Hari Raya anjuran bersama Komuniti Madani Kampung Pulai Tinggi dan PPDK Bukit Payung, di sini, hari ini.
Pengerusi PPDK Bukit Payung Adang Daraman, berkata pelaksanaan program ini bertujuan untuk meraikan pelatih PPDK dengan kehadiran dan penglibatan ibu bapa serta penduduk kampung sekitar.
“Program ini secara tidak langsung dapat mewujudkan hubungan sosial antara pelatih yang terdiri daripada anak anak istimewa dan penglibatan mereka tidak disisihkan dalam komuniti.
“Bukan itu sahaja, ianya juga mampu mendidik anak-anak istimewa ini untuk tampil lebih berani ke hadapan bersama komuniti di dalam acara dan program pada masa akan datang,” katanya.
“Aktiviti seumpama ini perlu kerap diadakan kerana ianya seronok dan dapat mengeratkan lagi hubungan antara ibu bapa, anak-anak bersama guru dan masyarakat setempat yang hadir,” ujar Norazima binti Sulung , 51, ibu pelatih yang turut serta dalam program hari ini.
-ZS-