Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Cheche Juara Sandakan Cat Got Talent 2017

By 17 Oktober 2017Oktober 19th, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan & Foto: Matfazly Mat Kasim (Sabah)

SANDAKAN, 17 Okt (Malaysiaktif) – Kucing bernama ‘Cheche’ mengungguli pertandingan kucing berbakat atau ‘Sandakan Cat Got Talent 2017’ yang berlangsung di Politeknik Sandakan pada Sabtu.

Cheche yang memenangi kategori kucing berbulu panjang ini sekali gus berjaya membawa pulang barangan penjagaan kucing.

Pemilik, Mohd Zairi, 37, berkata penyertaan Cheche pada kali ini merupakan percubaan kali kedua setelah kali pertama Cheche tidak berjaya merangkul tempat pada pertandingan tersebut.

Mohd Zairi bersama cheche.

Mohd Zairi bersama cheche.

“Pertandingan ini terlalu bererti kepada saya sebagai penggemar atau pencinta kucing yang mula menjaga Cheche sejak lima tahun lalu.

“Pada pertandingan sebegini selain dapat bertanding saya juga dapat bertemu dengan ramai kawan pencinta kucing selain dapat berkongsi minat dan maklumat terhadap penjagaan kucing,” jelasnya.

Selain Cheche, Zairi juga memiliki sebanyak 19 ekor kucing lain yang berbulu panjang menjelaskan purata kos bagi penjagaan kucing-kucingnya ini adalah lebih RM3 ribu sebulan termasuk makanan tambahan.

Zairi berharap pertandingan sebegini perlu sentiasa diadakan kerana pertandingan ini mampu meningkatkan tahap pengetahuan terhadap penjagaan kucing selain memberi kesedaran kepada orang awam bahawa kucing ialah haiwan yang perlu dilindungi.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Pencinta Kucing Sandakan (KPKS), Mohd Hazizul menyatakan KPKS ini diwujudkan pada mulanya sebagai kelab hobi dan bertujuan untuk mengumpukan semua pencinta kucing di daerah Sandakan.

Jelasnya, kelab yang mula ditubuhkan pada 2015 itu sehingga kini telah menganjurkan pertandingan ini sebanyak enam kali.

“Setakat ini penyertaan semakin meningkat. Dalam penganjuran ini cabaran utama adalah dari segi penyertaan orang ramai kerana pada permulaan penganjuran jumlah penyertaan adalah agak sedikit dan kami terpaksa memikirkan cara untuk menarik minat penyertaan.

“Namun akhirnya berkat perancangan dan beberapa kempen kesedaran dilaksanakan akhirnya penganjuran ini semakin mendapat sambutan bukan sahaja daripada ahli kelab malah penggemar kucing sekitar daerah ini,” ujarnya semasa ditemui pada pertandingan tersebut.

Hazizul turut berharap pertandingan sebegini bukan sekadar memberi kesedaran kepada umum agar menyayangi kucing atau haiwan lain malah diharap pertandingan ini dapat diangkat sebagai salah satu program pelancongan di daerah ini nanti.

Antara kucing yang turut dipertandingan pada program tersebut.

Antara kucing yang turut dipertandingan pada program tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Politeknik Sandakan, LT. Kol. Bersekutu (PA) Tajul Ariffin Mohamed Arif berpendapat acara yang diadakan ini adalah baik kerana secara langsung dapat memperkenalkan Politeknik Sandakan secara khususnya.

Katanya, melalui aktiviti sebegini orang awam dapat mengenali Politeknik Sandakan dengan lebih dekat terhadap kepelbagaian bidang yang ditawarkan di politeknik ini.

“Selain itu, program ini turut dapat membantu pelajar politeknik untuk memvariasikan penglibatan mereka tidak hanya pada akademik, tetapi juga pada aktiviti kokurikulum berbentuk kemasyarakatan sebegini.

Tambahnya, aktiviti yang diadakan ini juga merupakan aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR) yang diadakan oleh pihak politeknik dalam usaha untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Diharap dengan penganjuran aktiviti sebegini akan dapat memupuk semangat sayang akan haiwan dalam kalangan pelajar dan juga pengunjung,” ujarnya.

Bagi peserta yang hanya dikenali sebagai Rozieanah, 30, menyatakan rasa bersyukur dapat menyertai pentandingan ini yang banyak memberi peluang kepadanya untuk berkenalan sambil berkongsi panduan penjagaan kucing dengan ahli lain.

Katanya,dia mula menjaga kucing sejak 2005 yang lalu dan baru kali ini berpeluang menyertai pertandingan ini.

Manakala bagi seorang lagi peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Junior pula berpendapat acara yang diadakan sangat baik kerana berjaya mengumpulkan ramai peminat atau pengemar kucing dengan membawa pelbagai jenis kucing.

“Saya amat tertarik dengan pertandingan ini kerana saya dapat melihat pelbagai jenis kucing cantik dan pertandingan ini juga dapat memupuk kretiviti pemilik kucing terutama bagi kucing yang tahu mengikut arahan pemiliknya,” katanya.

Tambahnya, dia mula minat memelihara kucing ini sejak dua tahun lalu sebagai hobi pada masa cuti dan kini dia telah memiliki sebanyak lapan ekor kucing berlainan baka.

“Saya tidak nafikan bahawa cabaran memelihara kucing ini bukan pada tabiat kucing tersebut tetapi ialah kos pemakanan dan kesihatan yang semakin meningkat tapi jika sudah minat semuanya pasti mampu diatasi,” jelasnya.

 

-SF

Tinggalkan komen anda