Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

POLYCC Perhebat Pendidikan TVET di Malaysia

By 23 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), menawarkan pelbagai program yang menarik kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional di 36 buah politeknik dan 105 buah kolej komuniti di seluruh Malaysia.

Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Ulaimi Yahya, berkata program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di KPT bermula di kolej komuniti yang menawarkan program peringkat sijil dan diploma, manakala di politeknik menawarkan program di peringkat diploma dan sarjana muda.

“Politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) menerapkan pelajar masing-masing dengan ilmu dan kemahiran supaya dapat mencari peluang pekerjaan atau bekerja sendiri.

“Terdapat juga graduan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) berjaya membina kerjaya di luar negara dan ini kita terapkan melalui program pengantarabangsaan dengan mendedahkan pelajar kepada peluang kerjaya global menerusi program pertukaran pelajar antarabangsa dan program latihan industri luar negara,” katanya semasa ditemu bual sempena program Influencer@JAPEN Johor yang disiarkan secara langsung di laman rasmi media sosial Jabatan Penerangan Negeri Johor, di sini semalam.

Pengarah Penerangan Negeri Johor Saiful Hisham Mansor bergambar bersama Ulaimi dan delegasi dari PIS serta kru produksi program Influencer@JAPEN Johor.

Menurut Ulaimi, TVET POLYCC juga bekerjasama dengan pihak industri menerusi program khusus seperti Pembelajaran Berasaskan Kerja dan Latihan Industri Berstruktur bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan terbabit.

“Selain itu, pendidikan TVET menekankan aplikasi kemahiran bagi membolehkan pelajar mempraktikkan ilmu kemahiran menerusi amali bengkel serta makmal dan membangunkan inovasi projek tahun akhir yang berbentuk penyelesaian masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Ulaimi juga memaklumkan mengenai penganjuran Karnival Kerjaya Antarabangsa PIS X Myfuturejobs 2024 pada 12 hingga 13 Mei ini bertempat di Politeknik Ibrahim Sultan anjuran bersama JPPKK, Politeknik Ibrahim Sultan dan PERKESO Negeri Johor.

“Pelbagai tips pekerjaan dari industri akan dikongsikan kepada graduan, golongan belia dan pencari pekerjaan menerusi aktiviti seperti taklimat kerjaya yang akan diberikan oleh pemain industri dari Dubai dan Sepanyol yang diwakili oleh alumni PIS sendiri,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda