Laporan/foto: Zaidi Jamin/Unit Foto Jabatan Penerangan (Sabah)
KOTA KINABALU, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Media di negeri ini disaran terus mengamalkan sikap bertanggungjawab, professional dan beretika dalam menyampaikan laporan kepada masyarakat.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kerajaan amat menghargai peranan dan kerjasama media dalam memberi dan menyalurkan laporan termasuklah laporan berkaitan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Saya meminta media supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab, professional dan beretika dalam menyampaikan laporan agar rakyat tidak keliru sebaliknya turut sama berperanan membangunkan negeri dan negara.
“Menerusi laporan media ia kadangkala menjadi antara sumber maklumat kepada kerajaan untuk mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi, selain rintihan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Media di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau berharap media terus memberi sokongan dan membantu kerajaan dalam melaporkan program yang dilaksanakan agar semua perancangan pembangunan kerajaan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Oleh itu, saya menggesa media arus perdana supaya menyediakan berita yang tepat dan berfakta bagi menangkis pelbagai berita palsu yang dilaporkan termasuklah di laman media sosial.
“Majlis ini sebagai tanda terima kasih dan menghargai peranan penting pengamal media sama ada media cetak, elektronik dan portal dalam membuat liputan program-program dan aktiviti anjuran kerajaan negeri,” ujarnya.
Lebih 250 pengamal media termasuk ketua-ketua biro dan pengarang telah menghadiri majlis berkenaan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharram.
-ZS-