Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurPutrajayaViralWilayah Persekutuan

PAU 2017 Platform Amali terbaik Untuk Pelajar Komunikasi UiTM

By 6 Disember 2017Disember 13th, 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 6 Dis (Malaysiaaktif) – “Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 merupakan kesempatan paling baik untuk pelajar saya menggunakan teori yang mereka pelajari dalam kelas supaya mereka lebih membuka mata tentang realiti sebenar industri media hari ini”.

Demikian kata Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nora Nordin yang mewakili lima pensyarah dan 35 pelajarnya yang menjadi sukarelawan PAU 2017 sejak Ahad sehingga Sabtu ini.

Jelas Nora, sebagai sukarelawan PAU, para pelajar Fakulti Komunikasi dan Media UiTM dapat mengambil kesempatan untuk mengaplikasikan pembelajaran mereka selama ini.

“Ada yang membuat tugasan wartawan dengan menulis artikel, perhubungan awam dan komunikasi interpersonal yang menjaga media, penerbitan yang menghasilkan infografik, dan penyiaran yang menyediakan video.

“Apa yang saya lihat mereka kelihatan sangat teruja. Ini ibarat platform yang baik sebelum mereka buat internship (latihan amali). Kebanyakan mereka ini ialah pelajar semester akhir, jadi menerusi PAU diharap tiada kejutan ketika mereka mula membuat internship nanti.

“Ketika inilah mereka dapat mengenali agensi media untuk internship. Mereka juga berpeluang untuk menulis peristiwa yang berlaku sepanjang PAU yang dipantau oleh pensyarah kewartawanan, Puan Azlinawati Ainol. Paling membuatkan mereka teruja apabila dapat byline (kredit nama) bagi setiap artikel yang disiarkan oleh UMNO Online.,” jelasnya.

Nora ketika ditemui

Nora ketika ditemui

Nora turut menjelaskan kerjasama antara UiTM dan UMNO yang dibuka kepada semua pelajar ini telah berlangsung selama tiga tahun.

“Kita buat secara terbuka kepada semua pelajar yang nak dapat pengalaman tanpa paksaan. Mereka ini diberikan penginapan, pengecualian kuliah namun perlu membuat kelas ganti,” ujarnya lagi.

Menurut pelajar tahun akhir Kewartawanan UiTM, Muhammad Syahir Ridhwan Mohd Yusof, 21, yang telah tiga kali menyertai PAU menyifatkan pengalaman yang dilaluinya ini bukannya peluang yang datang selalu.

“Saya menyertai PAU bermula semester satu, semester tiga dan kini saya dalam semester lima. Platform yang diberikan oleh UMNO ini merupakan suatu pengalaman istimewa bagi pelajar yang terpilih.

“Kalau PAU yang pertama, saya seronok dapat byline. PAU kedua, saya seronok dapat menghasilkan lapan artikel, PAU kali ini pula berpeluang menemu bual Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi secara eksklusif.

“Saya rasa bangga kerana ketika itu, tak semua media dibenarkan membuat liputan tetapi kami pelajar UiTM bawah media UMNO, diberi peluang,” tambah Syahir yang ingin menjadi Penganalisis Politik seperti pensyarahnya, Prof Madya Datuk Dr. Ismail Sualman.

Syahir sedang menulis artikel PAU 2017

Syahir sedang menulis artikel PAU 2017

Syahir berharap agar semua pelajar menyertai program sebegini tanpa mengira fahaman politik.

“Ketepikan fahaman politik tetapi pentingkan pengalaman. Anda tidak akan dapat peluang ini selalu. Ambil peluang untuk bersama dengan media dan lihat sendiri cara untuk membuat liputan. Rasakan pengalaman dihimpit oleh banyak wartawan. Kalau setakat teori, tak cukup,” ujarnya.

Dalam pada itu, wartawan UMNO Online, Mohd Faizal Mohd Salleh menjelaskan penglibatan sukarelawan UiTM ini adalah untuk memberi peluang kepada mereka bagi menikmati sendiri keindahan untuk membuat kerja wartawan.

“Ada dalam kalangan mereka ini menjadi wartawan pelatih, jurugambar, juruvideo dan pereka grafik. Sudut berita memang kami bagi, namun kami juga beri ruang untuk melihat kreativiti mereka.

“Kita kena bagi mereka peluang. Suasana belajar dan suasana kerja yang sebenar amat berbeza. Jadi apabila mereka keluar nanti mereka tidak lagi kekok. Mereka boleh gunakan pengalaman PAU ini pada masa akan datang. Contohnya, ada pelatih kami pada tahun lepas yang kini dah memasuki media arus perdana.,” jelasnya yang ditemui di Laman Media petang tadi.

Faizal berpendapat penglibatan sukarelawan UiTM adalah untuk memberi peluang kepada mereka bagi menikmati sendiri keindahan untuk membuat kerja wartawan

Faizal berpendapat penglibatan sukarelawan UiTM adalah untuk memberi peluang kepada mereka bagi menikmati sendiri keindahan untuk membuat kerja wartawan

Sementara itu, bagi pelajar Perhubungan Awam, Faridah Hanim Mohd Fuad, 22 peluang untuk membuat kawalan media di luar kampus tidak disia-siakannya.

“Perasaan yang menarik apabila dapat belajar daripada program di luar kampus. Dalam kampus, kami belajar teori tetapi apabila dapat peluang untuk keluar kampus, kami dapat tengok sendiri realiti orang yang bekerja.

“Tugas saya adalah untuk menjaga laman media. Saya berpeluang untuk mengenali ramai pengamal media kerana ada banyak media dalam dan luar negara yang membuat liputan,” ujarnya.

Faridah yang kali kedua menjadi sukarelawan PAU.

Faridah sudah dua kali menjadi sukarelawan PAU.

Faridah yang kali kedua menyertai PAU berkata bukan mudah untuk mengawal media kerana ada program tertentu yang bukan semua media dibenarkan membuat liputan.

“Pada tahun ini, teknologi kad media juga berbeza. Dahulu dimbas secara manual. Tahun ini, teknologi yang digunakan ibarat smart tag. Semua maklumat, kami dapat lihat terus menerusi skrin yang disediakan.

“Jadi sebagai pelajar komunikasi, kami perlu menjaga kehendak pihak atasan dan pihak media. Paling mencabar apabila dalam sesuatu persidangan, hanya media tertentu sahaja yang dapat masuk. Jadi kami perlu mengawal perkara tersebut untuk mengelakkan konflik,” ujarnya yang kagum melihat rata-rata perwakilan mempunyai aura dan penuh yakin berucap dalam Dewan Merdeka dan Dewan Tun Hussein Onn.

– AH

Tinggalkan komen anda