
Laporan: Sam Mansibu / Foto: Leonard Desmond & Priscilla Walter (Sabah)
TAMBUNAN, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Sebanyak 100 buah rumah dikenal pasti bagi pelaksanaan program baik pulih rumah di kawasan Parlimen Keningau.
Timbalan Ketua Menteri ,Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, pemilihan 100 buah rumah yang layak ini bukan suatu perkara yang mudah untuk terpilih kerana melibatkan beberapa penilaian tertentu serta perlu mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
“Syarat utama pemilihan ialah penerima harus mendaftar dalam sistem e-kasih dan dalam kategori miskin atau miskin tegar”.
Demikian kata Pairin semasa merasmikan Program Gotong-Royong Baik Pulih Rumah Rakyat kawasan Parlimen Keningau di Dewan Pisompuruan Tambunan pada Selasa.
Katanya lagi, rumah yang ingin dibaiki mestilah atas tanah sendiri atau mendapat kelulusan daripada pihak berwajib dengan peruntukan yang ditetapkan sebanyak RM10,000.
“Setiap rumah terpilih akan dinilai oleh pihak berwajib bagi memastikan rumah yang dibaiki tersebut mencukupi untuk nilai peruntukan yang diperoleh.
Jelasnya, perlu juga diingatkan bahawa program baik pulih ini bukanlah melibatkan pengubahsuaian yang menyeluruh, terdapat skop-skop tertentu seperti mengecat rumah, membaiki lantai, bumbung, jambatan laluan atau pendawaian elektrik bagi memberi lebih keselesaan kepada penghuni rumah.
“100 buah rumah terpilih tersebut ada yang telah siap dan ada juga masih dalam proses penyiapan yang dijadualkan.
“Proses membaik pulih rumah ini dijangka akan selesai sebelum penghujung bulan ini dan berharap kerja-kerja baik pulih ini dapat diselesaikan sebelum perayaan Krismas,” ujarnya.
Pairin yang juga wakil rakyat Tambunan berharap dengan pelancaran program itu akan meningkatkan lagi semangat masyarakat terutama rakyat yang berada di luar bandar untuk terus memupuk semangat perpaduan, bergotong-royong dan tolong-menolong bersama penduduk kampung.
Beliau juga meminta rakyat agar sentiasa berterima kasih kepada kepimpinan negara kerana sering menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk semua lapisan masyarakat sejajar dengan tema bajet 2018 ‘ Memakmur Ekonomi yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50’.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan pembaikan rumah kepada seramai 100 penerima yang layak, masing-masing 40 dari Tambunan, 30 dari Bingkor dan 30 lagi dari Liawan.
-SF