Waspada Pendakap Gigi Tiruan!

_AZJ0984

 

LAPORAN : Fauzrina Hj Bulka / FOTO : Azman Jumat (Sabah)

 

 

KOTA KINABALU, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Isu penggunaan pendakap tiruan di kalangan masyarakat terutamanya remaja pada masa kini amat membimbangkan.

Kewujudan doktor-doktor segera juga agak menggerunkan kerana dengan menawarkan nilai perkhidmatan yang rendah, mereka bereksperimen pada gigi mangsa tanpa mempedulikan kesan buruk yang bakal timbul.

Doktor gigi, Dr. Zarita Rahman berasa terkilan dengan keberanian doktor segera ini yang lebih memikirkan keuntungan tanpa ambil peduli bahana yang akan dihadapi oleh mangsa.

Zanita menunjukkan contoh gigi yang perlu dipasang pendakap.

Zanita menunjukkan contoh gigi yang perlu dipasang pendakap.

“Sebenarnya untuk membuat perkhidmatan pendakap gigi, pesakit perlu berjumpa pakar mengikut level yang sesuai mengikut masalah gigi yang pesakit hadapi.

“Jika saya boleh berikan ia level, saya sebagai doktor pun tidak layak kendalikan masalah di level empat, sebagai doktor kami tahu kemampuan kami dan kami tidak akan buat sesuka hati.

“Kami akan ada orang yang kami rujuk jika masalah itu berat sangat. Jika tidak mampu, kami akan minta pesakit ke hospital untuk bertemu pakar yang sesuai,”jelas Zarita.

Menurutnya juga, masalah gigi setiap pesakit pastilah cara mengendalikannya tidak sama, ada gigi yang perlu dicabut sebelum dipasang pendakap supaya gigi punya ruang yang cukup untuk dibentuk dengan cantik.

Bukan sahaja berkualiti tetapi barang yang digunakan perlu bersih dan di steril.

Bukan sahaja berkualiti tetapi barang yang digunakan perlu bersih dan di steril.

“Ada pesakit yang punya gigi seperti dinosaur, tetapi tidak dicabut, mungkin kerana doktor tiruan ini tidak tahu hendak merujuk pada siapa, mungkin mereka risau juga pesakit akan lari pada doktor sebenar jika diminta untuk cabut di hospital atau klinik.

“Apa yang berlaku selepas itu, gigi akan menjadi hancur kerana dipaksa untuk rapat walaupun tiada ruang yang cukup.

“Setakat ini, ada dua pesakit yang datang pada saya untuk membuka pendakap mereka, dan ada lima lagi yang mesej saya melalui laman sosial facebook menunjukkan gambar gigi mereka yang seperti ‘gerabak kereta api terbabas’,” kata Zarita.

Daripada pengakuan mangsa, modus operandi doktor segera ini biasanya dilakukan di kamar hotel atau pun di rumah dan dengan bayaran serendah RM400 pastinya menggunakan bahan-bahan yang di import daripada China.

sumber:Google

sumber:Google

“Ada antara kes mangsa, gigi hadapannya menjadi lurus, sedangkan gigi kita yang normal seharusnya mempunyai bentuk ‘U’ yang cantik, tetapi disebabkan doktor yang melakukannya tidak bertauliah, mangsa terpaksa menanggung akibatnya.

“Setiap wayar yang digunakan untuk membuat pendakap ada saiz dan fungsi masing-masing, mungkin jika dilihat semuanya lebih kurang sama, tetapi ada wayar yang lembut dan keras.

“Bayangkan jika mereka belasah sahaja, sebab itulah gigi yang cantik berbentuk U boleh jadi lurus dan masyarakat terutamanya mangsa perlu faham, semua ini perlu ada ilmu untuk kita tahu fungsi setiap satunya,”ujarnya.

Zarita turut mendapat kecaman daripada doktor segera yang menghubunginya melalui facebook menggunakan ayat-ayat keagamaan supaya dia menghentikan kempennya yang menghentam penggunaan pendakap besi tiruan.

Jelas Zarita, tiada alasan masyarakat perlu mendapatkan khidmat doktor segera berbanding di hospital kerajaan dan juga klinik swasta kerana harga yang ditawarkan untuk memasang pendakap kini semakin rendah.

Zanita menunjukkan barangan original daripada Jerman yang digunakannya pada gigi pesakit.

Zanita menunjukkan barangan original daripada Jerman yang digunakannya pada gigi pesakit.

“Banyak klinik kini yang menawarkan deposit berserta bayaran bulanan yang rendah bagi memudahkan semua golongan untuk mendapatkan perkhidmatan ini.

“Jika ingin cantik, kita perlu membelanjakan wang lebih sedikit, berbanding berbelanja murah namun akhirnya kami juga yang dicari untuk membetulkan semula gigi-gigi yang rosak teruk itu nanti.

“Dan akhirnya juga, mangsa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan dua kali ganda untuk membetulkan gigi mereka.

“Ikut sahaja langkah yang betul seperti dimulakan dengan rundingan dan diteruskan dengan perancangan rawatan, sehingga rawatan susulan secara bulanan manakala yang bermasalah mungkin perlu mengambil x-ray dan sebagainya,”jelasnya ketika di temui di kliniknya.

Sewaktu pemeriksaan gigi Muriel.

Sewaktu pemeriksaan gigi Muriel.

Menurut Zanita, daripada pengakuan lima orang mangsa, tiga daripadanya menerima perkhidmatan haram tersebut di Labuan dan dua daripadanya sekitar Kota Kinabalu.

Zanita turut berharap agar doktor-doktor segera ini berhenti, manakala masyarakat pula berfikir sebelum mendapatkan perkhidmatan haram tersebut dan Kementerian Kesihatan pula lebih proaktif dalam menangani permasalahan ini.

“Kita tak mahu perkara ini menjadi semakin teruk sehingga pesalah juga ada yang membantu umpama menggalakkan lagi yang belum tertangkap ini untuk terus beroperasi,”katanya.

Muriel gembira giginya menunjukkan perubahan yang baik pada bulan ke empat pemasangannya.

Muriel gembira giginya menunjukkan perubahan yang baik pada bulan ke empat pemasangannya.

Dalam pada itu, pesakit, Muriel Maureen Micharle, 42 yang berasal dari Penampang telah empat bulan mendapatkan rawatan daripada Zanita.

“Pada mulanya saya dan rakan hanya ingin membuat rawatan pemutihan gigi, tetapi selepas berjumpa doktor, dia mencadangkan agar kami membuat rawatan gigi dulu untuk mengelakkannya kotor semula selepas memakai pendakap.

“Pendapat saya lebih baik mendapatkan rawatan di klinik kerana jika anda ada apa-apa masalah di kemudian hari, mudah untuk merujuk semula dengan doktor.

“Lagipun pesakit tidak terbeban dengan bayaran yang dikenakan kerana klinik menawarkan bayaran ansuran secara bulanan yang rendah,”katanya.

Tambahnya, doktor akan memberi penjelasan tentang kondisi gigi setiap kali berkunjung di klinik dan proses tersebut kelihatan baik seperti giginya yang menunjukkan perubahan yang cepat dan ketara.

Jelas Muriel, memasang pendakap gigi juga perlukan penjagaan yang teliti seperti menggunakan berus gigi yang sesuai dan ubat bagi mengelakkan ulser.

“Tip daripada rakan-rakan, bagi mengelakkan pengguna terkena ulser, kita perlu rajin mengambil vitamin C dan saya sendiri mengikut saranan tersebut.

“Pada individu-individu yang ingin memasang pendakap pula adalah lebih baik mendapatkan perkhidmatan tersebut di klinik berdaftar agar lebih selamat dan bersih,”katanya ketika ditemui selepas menerima rawatan bulanan.
-MRR

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...