Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Sambutan Chithirai Pournami Kumpul Hampir 20,000 Pengunjung

By 25 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Mohd Alihanafiah (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 25 Apr (Malaysiaaktif) – Hampir 20,000 pengunjung dari seluruh pelosok negara berkumpul di Teluk Intan bagi meraikan sambutan Chithirai Pournami, di sini pada Selasa.

Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Chandran Kandasamy berkata Chithirai Pournami disambut setiap tahun bagi memperingati kelahiran seorang dewa dan Kuil Sri Thendayuthapani di daerah ini menjadi tumpuan utama.

Chandran (kiri) berdiri di hadapan khemah agihan makanan percuma.

“Penganut agama Hindu dari dalam dan luar daerah malah dari negeri lain berkunjung ke sini untuk bersembahyang dan menyempurnakan ‘nazar’ masing-masing,” ujarnya.

Pengunjung Durairaj Muthukaruppan, 56, berkata ini merupakan kali pertama dia menyertai perayaan tersebut, jadi perasaan teruja amat dirasai apabila melihat sambutan begitu meriah.

“Saya tidak menyangka pengunjung yang datang adalah seramai ini.

“Mujur beberapa jalan ditutup oleh MPTI bagi memudahkan pergerakan pengunjung di sekitar kuil,” ujarnya ketika ditemui.

Kumpulan Om Ganapathi Urumi Melam dari Kerling, Selangor turut serta mengambil bahagian.

Warga tempatan Thilagawati Nanda Kumar, 44, pula berkata sambutan pada tahun ini sama meriah seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Kehadiran pengunjung merancakkan lagi perniagaan yang dibuka oleh peniaga kecil sepanjang perayaan ini berlangsung,” ujar Thilagawati yang turut membantu adiknya dari Kuala Lumpur membuka gerai menjual pani puri bermula Isnin lalu.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda