Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/PUO
IPOH, 25 Apr (Malaysiaaktif) – Sekurang-kurangnya 1,000 pengunjung hadir ke program Career Connect@Politeknik Ungku Omar (PUO) 2024, di sini semalam.
Menurut kenyataan PUO, program ini melibatkan 16 buah syarikat dari pelbagai industri yang menawarkan lebih 200 peluang pekerjaan dan penempatan latihan industri.
“Career Connect@PUO 2024 memberi manfaat yang besar kepada pelajar dan pencari kerja yang akhirnya diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui peningkatan kebolehpasaran dan pembinaan modal insan yang berkualiti.
“Para pelajar dapat mempraktikkan ilmu yang diperolehi menerusi sesi temu duga dan menjadi medan persediaan dalam menghadapi temu duga setelah bergraduasi kelak,” katanya.
Pihak industri juga berpeluang mengenal pasti calon yang berpotensi melalui program ini dan seterusnya mengukuhkan jaringan kerjasama positif antara rakan industri dan PUO.
“Dalam masa sama, PUO turut menandatangani Letter of Intent (LOI) bersama-sama tujuh buah syarikat dan organisasi yang bakal menyaksikan kerjasama dalam bidang kejuruteraan, penyelidikan serta latihan.
“Mereka adalah Asia Global Field Sdn Bhd, Mr Fix It Engineering Services, Kompleks Pendidikan Baitul Dhiya’, Buminakhyar Resources, Malaysian Institute of Technology Academy, PMG Venture Capital Sdn Bhd dan PROFIMA,” menurut kenyataan tersebut.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Akademik) PUO Ts. Dr. Izwah Ismail dan Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Dr. Mohd Azam Mohd Dali.
-ZS-