Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kerajaan Negeri Beri Sokongan Penuh Pelaburan Asing dan Tempatan

By 16 April 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan : Genda Sating & Nor Hidayah Ismail
Foto : Parno Salamat (Kuching)

KUCHING, 16 April (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri sentiasa menyokong pelaburan asing dan tempatan dan komited dalam memastikan pelaksanaan projek tersebut berjalan lancar, cepat dan cekap.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran LONGi (Kuching) Sdn Bhd di Sama Jaya High Tech Park, di sini hari ini berkata kejayaan pelaksanaan projek suria LONGi merupakan contoh terbaik.

Abang Johari melancarkan gimik perasmian.

Abang Johari melancarkan gimik perasmian.

“Dalam tempoh dua tahun, LONGi telah berkembang secara agresif untuk memenuhi permintaan pasaran photo voltaic (PV) yang semakin meningkat,” katanya.

Terdahulu ketika berucap dalam majlis yang sama, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan, Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut memaklumkan LONGi telah berjaya meluaskan pasaran eksport produknya ke pasaran Eropah, Amerika dan Kanada dan nilai eksport dijangka mencapai RM1.5 bilion pada tahun 2018.

“Nilai keseluruhan eksport Zon Industri Bebas Sama Jaya dijangka bernilai RM4.5 bilion pada akhir tahun 2018 sebaik sahaja pengeluaran produk LONGi dikeluarkan sepenuhnya.

“Seiring dengan perkembangan perusahaan multinasional di Sama Jaya, ia telah meletakkan Sarawak sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan syarikat multinasional yang lain, ujarnya lagi.

Abang Johari disambut delegasi daripada Syarikat LONGi (Kuching) Sdn Bhd sempena pelancaran syarikat tersebut, di sini siang tadi.

Abang Johari disambut delegasi daripada Syarikat LONGi (Kuching) Sdn Bhd sempena pelancaran syarikat tersebut, di sini siang tadi.

Pada masa yang sama, Awang Tengah turut menegaskan bahawa kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan turut akan membantu meningkatkan kawasan Zon Perindustrian Sama Jaya dengan kelengkapan dan kemudahan moden supaya ia menjadi pemangkin untuk industri seiring dengan inisiatif ekonomi digital Sarawak.

“LONGi merupakan perintis kepada pengeluaran bersepadu yang beroperasi dari satu lokasi dalam menghasilkan produk silikon berbentuk jongkong, kepingan, sel dan panel solar.

“Selain itu, pelaburan syarikat asing turut mewujudkan pulangan berganda kepada ekonomi tempatan seperti permintaan kepada makanan, perumahan, pengangkutan, produk runcit, hiburan dan sebagainya,” tambahnya.

Dianggarkan kira-kira 2,130 kakitangan termasuk 247 jurutera yang merupakan penduduk tempatan Sarawak mendapat peluang pekerjaan bersama syarikat tersebut.

Dalam majlis ini LONGi turut menyumbangkan 38 unit panel solar kepada Komuniti Penan di Ulu Baram melalui Persatuan Kebajikan Harapan Kuching.

-SH

Tinggalkan komen anda